KUBANG PASU: Kadar vaksinasi dalam kalangan pekerja industri di negeri ini dijangka mencecah 100 peratus pada awal Oktober depan.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Pengajian Tinggi Negeri, Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail berkata, pihaknya yakin untuk mencapai sasaran itu memandangkan kira-kira 80 peratus pekerja sektor berkenaan telah lengkap dua dos vaksin ketika ini.
Katanya, perkembangan itu merupakan sesuatu yang baik bagi memastikan kilang-kilang dapat terus beroperasi dan mengelakkan kerugian kepada banyak pihak hingga dikhuatiri menjejaskan pekerja.
“Di negeri ini kita dianggarkan mempunyai kira-kira 100,000 pekerja kilang. Daripada jumlah itu, dianggarkan lebih 80,000 sudah menerima suntikan dua dos vaksin.
“Maknanya majoriti kilang-kilang kita ketika ini boleh beroperasi penuh dengan jumlah pekerja 100 peratus. Itu satu kejayaan besar bagi negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darul Aman di sini hari ini.
Pada 15 Ogos lalu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi satu kenyataan memaklumkan, operator yang mempunyai tahap peratusan pekerja lengkap divaksinasi antara 80 hingga 100 peratus dibenarkan beroperasi sepenuhnya manakala majikan yang pekerjanya mencapai kadar vaksinasi lengkap antara 60 hingga 79 peratus dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus.
Bagi majikan yang mempunyai 40 hingga 59 peratus pekerjanya sudah divaksin, mereka boleh boleh beroperasi pada kapasiti 60 peratus.
Mengulas lanjut Ku Abd. Rahman berkata, ada dalam kalangan pekerja kilang tersebut divaksinasi menerusi Pikas dan temu janji dibuat melalui aplikasi MySejahtera.
Begitu pun katanya, terdapat juga kilang bertaraf multinasional yang mengeluarkan belanja sendiri untuk memvaksin pekerja mereka menggunakan khidmat hospital atau swasta berkelayakan. -UTUSAN ONLINE