KUALA LUMPUR: Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura yang dibatalkan sebelum ini perlu diteruskan mengikut konsep dan perancangan asal.
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, langkah itu dapat memberi nafas baru kepada koridor selatan semenanjung seperti Iskandar Malaysia, Batu Pahat, Muar, Melaka, Seremban dan sebagainya.
“Semasa pembinaan projek HSR dijangka mewujudkan 70,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.
“Selepas projek HSR siap beroperasi, ia mampu memberi keuntungan ekonomi sekitar USD1.6 bilion setahun mengikut kaji selidik Institute of Developing Economies, Japan dengan syarat landasan perlu dihubungkan dengan Singapura. Menggantikan projek HSR dari Singapura ke Kuala Lumpur kepada KLIA ke Johor Bahru akan menjadikan projek ini tidak ‘viable’ dan akhirnya merugikan negara apabila terpaksa membayar subsidi berbilion-berbilion,” jelasnya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini
Katanya, cadangan beliau itu juga dapat menghidupkan semula projek Bandar Malaysia yang bernilai RM140 bilion dari segi Gross Development Value (GDV).
“Saya mencadangkan tanggungjawab dan pemilikan projek pembangunan diberikan kepada tabung-tabung seperti KWSP dan PNB. Kedua-dua badan ini terbukti dapat bekerjasama dengan baik sehingga menjayakan pembangunan projek Battersea di London.
“Projek ini juga boleh dijayakan secara usahasama dengan pelabur Singapura memandangkan HSR berhubung dengan negara itu jika KWSP dan PNB berpendapat ianya memberi kelebihan. Sekiranya ini berlaku, saya cadang ianya dijenamakan semula sebagai Bandar ASEAN supaya ianya meletakkan Malaysia menjadi pusat kepada ASEAN dalam usaha menarik perhatian komuniti antarabangsa,”katanya. -UTUSAN ONLINE