KUALA SELANGOR: Seorang warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) berasa sayu mengenang nasib ternakan ayam dan haiwan peliharaanya iaitu sembilan ekor kucing tidak sempat diselamatkan.
Thumy Jawi Mustan, 86, ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir Kampung Rantau Panjang di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang di sini meluahkan dia tidak sempat berbuat apa-apa apabila air tiba-tiba melimpah ke dalam rumahnya kira-kira pukul 10 pagi semalam.
Menurutnya, haiwan peliharaan dan ternakannya itu tidak sempat diselamatkan sebelum dia dan keluarga dibawa berpindah ke PPS sebaik sahaja rumahnya ditenggelami air akibat limpahan air Sungai Selangor.
“Apalah nasib kesemua kucing kesayangan yang nenek bela dari sebesar tapak tangan. Ayam berpuluh ekor pun habis tenggelam dilanda banjir secara tiba-tiba. Sedih hati,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan 48 penduduk kampung di sini, terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir.
Susulan kejadian, lapan agensi kerajaan termasuklah antaranya Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)t, Angkatan Pertahanan Awam (APMM) dan polis dikerah bagi membantu mangsa dan mengurus bencana.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd. Faizal Abdul Raji, memberitahu seramain 90 orang yang terdiri daripada 27 keluarga dipindahkan ke PPS.
Menurutnya, air Sungai Selangor dilaporkan meningkat pada pukul 5.30 pagi sebelum membanjiri kawasan Kampung Rantau Panjang.
Susulan kejadian, lapan agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APMM) dan polis dikerah bagi membantu mangsa dan mengurus bencana.
Dalam pada itu, Thumy memaklumkan kampung kediamannya pernah dilanda banjir pada 2011, namun menyifatkan kali ini bencana itu melanda lebih teruk sehingga terpaksa dipapah dan dibawa keluar oleh anak lelakinya.
“Semasa 2011 banjir tidak seteruk semalam. Kali ini air menaiki rumah dan nenek terpaksa mengesot keluar sebelum diselamatkan oleh anak lelakinya. Dokumen penting tidak dapat diselamatkan. Kad perubatan pun tenggelam macam mana nenek hendak ke hospital esok,” ujarnya.
Penghulu Mukim Bestari Jaya-Ulu Tinggi, Hanis Zahari, ketika ditemui berkata, PPS tersebut dibuka 1 petang semalam melibatkan 17 keluarga dari kampung terbabit.
“Air masih melimpah dan penduduk masih berada di SK Rantau Panjang untuk satu tempoh yang belum dipastikan. Banjir kali ini agak teruk berbanding awal tahun ini dan 10 tahun lalu,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE