GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menasihatkan para guru mengambil vaksin Covid-19 dengan segera demi melindungi murid-murid sekolah daripada jangkitan wabak merbahaya.
Wan Salim menjelaskan, golongan guru tidak sepatutnya menolak vaksin Covid-19 kerana tujuannya adalah untuk melindungi mereka daripada jangkitan virus berkenaan.
“Pihak sekolah boleh mengarahkan guru yang enggan mengambil vaksin supaya tidak bersemuka dengan murid-murid.
“Ini boleh dilakukan sama ada dengan cara mengajar dalam talian atau dengan menukarkan tugas mereka ke bahagian yang tidak memerlukan mereka bersemuka dengan murid-murid,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, alasan menolak pengambilan vaksin kebiasaannya kerana khuatir vaksin meliputi bahan haram dan kononnya adalah konspirasi golongan Yahudi Zionis untuk mengurangkan jumlah populasi dunia.
Bagaimanapun, tambahnya, perlu diingatkan Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam telah memutuskan hukum mengambil vaksin adalah harus setelah diyakinkan oleh Kementerian Kesihatan tiada unsur haiwan di dalamnya.
Menurut Wan Salim, alasan konspirasi pula tidak munasabah kerana rakyat Israel, Amerika Syarikat dan rakyat di seluruh dunia turut menerima vaksin.
“Kita juga perlu tahu fatwa tentang keharusan mengambil vaksin adalah dikeluarkan juga oleh institusi-institusi kefatwaan di seluruh negara Islam termasuk Arab Saudi dan Mesir.
“Perlu juga disedari walaupun para ulama memutuskan hukum mengambil vaksin adalah harus, tetapi sekiranya diyakini atau berat sangkaan bahawa dengan tidak mengambilnya boleh menyebabkan kemudaratan berlaku terhadap diri sendiri atau orang lain, maka hukum mengambil vaksin bertukar kepada wajib,” katanya.
Beliau menambah, semua pihak sebenarnya tidak menolak makanan sunah sebagai salah satu kaedah untuk mencegah jangkitan wabak atau penyakit
“Tetapi Islam tidak melarang umatnya menerima cara rawatan moden jika didapati ia berkesan untuk pencegahan wabak atau penyakit tertentu,” katanya. -UTUSAN ONLINE










