BUTTERWORTH : Seramai 2,177 peniaga dan penjaja di negeri ini telah menerima suntikan vaksin di bawah Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) fasa kedua yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 1,275 daripadanya berdaftar dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) manakala selebihnya menjalankan perniagaan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, program Movak fasa kedua itu dibuat susulan maklum balas positif yang diterima hasil penganjuran program pertama iaitu antara 30 Ogos hingga 2 September lalu apabila seramai 11,010 peniaga dan penjaja berjaya divaksinkan dalam program berkenaan.
“Sambutan yang diterima untuk program fasa kedua ini boleh dianggap agak baik apabila kira-kira 98 peratus peniaga dan penjaja MBPP iaitu seramai 1,275 orang telah divaksin manakala kira-kira 70 peratus atau 902 orang lagi peniaga dan penjaja MBSP juga telah menerima dos pertama masing-masing sehingga semalam iaitu untuk tempoh dua hari pertama program.
“Sehubungan itu, saya berharap agar lebih ramai peniaga dan penjaja akan mengambil peluang keemasan ini memandangkan esok merupakan hari terakhir Movak fasa kedua dijalankan di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar yang turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook selepas melakukan pemantauan Movak fasa kedua itu di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi di sini bersama Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud, hari ini.
Selain Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi di sini, program yang sama turut dijalankan di Dewan Sri Pinang, Georgetown untuk fasa kedua ini.
Dalam perkembangan lain, Rozali memberitahu, sehingga kini, seramai 9,608 atau 91.27 peratus daripada keseluruhan 10,527 peniaga dan penjaja termasuk yang tidak berlesen di Seberang Perai telah divaksin.
Katanya, jumlah itu boleh dianggap sebagai satu kejayaan memandangkan baki 919 atau kira-kira 8.73 peratus peniaga atau penjaja lagi mungkin dikategorikan sebagai tidak berlesen yang menjalankan perniagaan buat sementara waktu sahaja.
“Saya juga telah menghubungi beberapa NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan pengerusi persatuan peniaga yang berkaitan untuk mengesahkan statistik ini dan jawapan mereka juga hampir sama,” katanya. -UTUSAN ONLINE