MKI muktamad SOP solat berjemaah - Idris Ahmad - Utusan Malaysia

MKI muktamad SOP solat berjemaah – Idris Ahmad

IDRIS Ahmad ketika ditemui pemberita selepas program Penyerahan Foodbank Yapeim dan Kotak Makanan Yadim di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Draf pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi solat berjemaah di masjid dan surau telah dimuktamadkan, semalam. 

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, perkara itu telah diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

 

Katanya, garis panduan tersebut akan diserahkan kepada jabatan agama Islam negeri-negeri dalam masa terdekat untuk pelaksanaan. 

 

“Hasil muzakarah bersama mufti-mufti di seluruh negeri, MKI telah memuktamadkan SOP solat jemaah di masjid dan surau, semalam. 

 

“Keputusan itu juga telah diselarikan dengan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya selepas program Penyerahan Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Kotak Makanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong di sini hari ini. 

 

Hadir sama Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil dan Penasihat Agama kepada Ketua Menteri, Datuk Kamarudin Sidek.

 

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun memberitahu, pelaksanaan SOP itu tetap tertakluk di bawah bidang kuasa jabatan agama Islam di setiap negeri.

 

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanyalah penyelaras sahaja dan kami memberikan pandangan diperlukan. 

 

“Namun, netizen khususnya sering mempertikaikan tentang cara pelaksanaan SOP di masjid, tentang kuoata dan sebagainya tetapi perkara itu sebenarnya di bawah bidang kuasa jabatan agama negeri masing-masing,” jelasnya. 

 

Tambahnya, SOP berkaitan masjid dan agama juga adalah terkecuali daripada pelaksanaan menyeluruh yang digunakan untuk pusat beli-belah atau kilang yang dikeluarkan MKN dan Kementerian Kesihatan. 

 

“Bagi soal agama ini, sekalipun MKN meluluskan satu-satu SOP, ia tetap perlu dirujuk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, jangan kita langgar hak itu,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya