Mesyuarat MPN PKR Negeri Sembilan bincang krisis dalaman - Utusan Malaysia

Mesyuarat MPN PKR Negeri Sembilan bincang krisis dalaman

Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan yang menjadi lokasi Mesyuarat MPN PKR Negeri Sembilan hari ini- UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 9 Sept.- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan yang diadakan hari ini. 

Anwar tiba kira-kira pukul 11 pagi di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di sini yang menjadi lokasi mesyuarat tersebut.

Mesyuarat berkenaan dijadual berlangsung selama satu jam setengah yang dijangka agendanya turut membincangkan isu krisis dalaman yang berlaku dalam PKR Negeri Sembilan termasuk desakan dalam kalangan ahli MPN PKR negeri untuk menggantikan Pengerusi mereka iaitu, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pada Ahad lalu tersebar kenyataan akhbar bersama melalui Penerangan PKR negeri ini yang mendesak rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN Negeri Sembilan bagi memastikan parti itu kekal relevan.

Kenyataan itu turut mengaitkan empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR negeri ini dalam desakan tersebut.

Mereka ialah iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Datuk Ismail Ahmad, ADUN Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, ADUN Sri Tanjung, Datuk M. Ravi dan ADUN Chuah, Datuk Yek Diew Ching.

Ketua Penerangan PKR negeri, Yusof Tapar menerusi kenyataan itu mendakwa, Aminuddin selaku Pengerusi MPN negeri tidak melakukan sebarang penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya di kawasan-kawasan DUN yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan.

“Selaku Pengerusi MPN, beliau gagal dalam memimpin dan memperkasakan cabang serta ahli parti sehingga menyebabkan hilangnya keyakinan ahli serta penggerak parti di akar umbi.

“Pengerusi MPN gagal mengurus dan menyelesaikan masalah cabang dengan memberikan solusi terbaik, sehingga beberapa keputusan tidak mengikut perlembagaan parti,” katanya.

Yusof juga memaklumkan, empat orang ADUN PKR tadi juga telah menandatangani akuan bersumpah (SD) yang memberikan sokongan terhadap usaha menyingkirkan Aminuddin.

Perkara itu juga disahkan oleh oleh Ravi yang juga Timbalan Pengerusi PKR negeri yang turut memberitahu memang terdapat usaha untuk menggantikan Aminuddin daripada jawatannya itu.

Kemuncak krisis dalaman tersebut berlaku semalam apabila Yusof mengesahkan menerima surat pemecatannya menerusi satu surat yang ditanda tangani oleh Aminuddin.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN