KLUANG: Masjid Taman Seri Impian, di sini memerlukan dana RM3 juta bagi menampung projek pembinaannya dalam menyelesaikan masalah limpahan jemaah solat Jumaat di dua buah surau di kawasan berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Taman Seri Impian, Zamri Abdullah, jumlah itu sudah dikurangkan separuh daripada sasaran awal sebanyak RM7 juta berikutan memahami keadaan ekonomi penduduk setempat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Usaha mengumpul dana bagi pembinaan masjid di kawasan seluas kira-kira 3.6 hektar itu sudah bermula sejak 2017 oleh ahli jawatankuasa terdahulu, asalnya rancangan pembinaan masjid ini dijangka menelan kos sebanyak RM7 juta bagi menampung kapasiti jemaah iaitu seramai 3,000 orang pada satu-satu masa.
“Namun disebabkan pandemik Covid-19, ahli jawatankuasa berpendapat jumlah yang wajar bagi meneruskan dan mempercepatkan pembinaan masjid berkenaan adalah sebanyak RM3 juta yang boleh menampung seramai 1,500 orang pada satu-satu masa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tapak pembinaan di sini, semalam.
Zamri berkata, ketika ini jumlah kediaman di Taman Seri Impian berjumlah kira-kira 14,000 unit dan majoriti penduduk di situ beragama Islam yang membuatkan pembinaan masjid berkenaan adalah satu keperluan mendesak.
“Pada awal Ogos lalu, kami menerima sumbangan sebanyak RM100,000 daripada Koperasi Tanah Johor yang menjadikan dana terkumpul bagi menampung kos pembinaan masjid kini sudah mencecah RM1.2 juta.
“Buat masa ini pihak jawatankuasa sudah dalam proses bagi melantik arkitek untuk membuat cadangan pelan masjid dan ketika ini penduduk di Taman Seri Impian menggunakan dua buah surau iaitu Surau Al Muhajirin dan Surau Al-Kahfi yang boleh menampung kira-kira 2,000 jemaah,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan peraturan oleh prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bilangan jemaah semakin kecil kerana terpaksa dihadkan dan menyebabkan ramai penduduk tidak dapat menunaikan solat Jumaat.
Katanya, orang ramai yang ingin membuat sumbangan boleh melakukannya melalui akaun Bank Islam Tabung Pembinaan Masjid Taman Seri Impian di 01050010033905.
“Orang ramai juga boleh menghubungi ahli jawatankuasa dilantik iaitu di talian, 010-6564809, 011-14774948, 012-7604908, 012-7978512, 019-7610484, 013-7993932 dan 017-7047594 untuk maklumat lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE










