KOTA KINABALU: ‘Saya sedih melihat ibu baharu bersalin yang datang dengan baju merah jambu terpaksa tidur ditilam yang diletakkan di atas lantai’.
Itu situasi yang dilihat Munira Ladis, 35, semasa berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Sri Pertiwi, Kinabatangan.
Munira berkata, pada hari terakhir (30 Ogos) dia dan keluarganya dikuarantin di PKRC tersebut, beliau melihat dua ibu baharu bersalin yang positif Covid-19 ditempatkan di situ. Mereka terpisah daripada anak yang masih ditempatkan di wad bayi.

“Kesakitan selepas bersalin secara normal pun belum hilang kini, mereka terpaksa tidur dalam keadaan tidak selesa tanpa katil. Hospital mungkin tidak mempunyai wad yang membolehkan ibu baharu bersalin diasingkan jika mereka positif.
“Kalau orang yang sihat, kita tidak kisah biarkan mereka tidur di lantai tapi, bila ia membabitkan orang yang baharu bersalin mahupun warga emas, situasi itu amat menyedihkan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, difahamkan PKRC berkenaan mempunyai katil sebelum ini namun, banyak katil yang rosak kerana orang yang menggunakannya silih berganti.
Munira berkata, semasa beliau datang ke PKRC itu pada Februari lalu, hanya ada sebuah katil sahaja boleh digunakan di tempat wanita selebihnya sudah rosak. Ini bermakna sudah hampir tujuh bulan situasi begitu berlanjutan.
“Layanan petugas kesihatan dan pengurusan PKRC sangat baik cuma, dari segi kemudahan di sini amat menyedihkan. Mungkin disebabkan kami berada jauh di pedalaman menyebabkan suara kami tidak didengari walaupun terpaksa tidur dalam keadaan tidak selesa di PKRC tersebut,” katanya.
Susulan itu, Munira mengambil inisiatif mengumpul dana dengan bantuan rakan-rakannya membeli dua katil dan meja untuk kegunaan di PKRC berkenaan. Jika ada sumbangan lagi, beliau akan meneruskan pembelian katil bagi kegunaan PKRC di situ.
Turut berkongsi keadaan pengalaman sama ialah seorang guru dikenali sebagai Man yang dimasukkan ke PKRC tersebut bersama isterinya pada 13 Ogos lalu.
Man berkata, penempatan pesakit positif Covid-19 lelaki yang berada di ruang terbuka berdindingkan kanvas dengan berbumbung zink itu menyebabkan mereka terpaksa berpanas pada waktu tengah hari dan digigit nyamuk pada waktu malam.
Walaupun ada kipas yang disediakan namun, ia agak terhad dan pesakit yang baharu masuk terpaksa tidur di katil yang jauh daripada kipas. Malah, tandas juga hanya ada dua dan terpaksa berkongsi antara lelaki dan wanita.
Beliau turut mengambil inisiatif mengumpul dana sumbangan rakan-rakannya bagi membeli kipas dan ampaian baju untuk kegunaan pesakit di situ. -UTUSAN ONLINE










