[Laporan Parlimen] Pemberian subsidi input pertanian tidak akan dihapuskan - Utusan Malaysia

[Laporan Parlimen] Pemberian subsidi input pertanian tidak akan dihapuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tidak bercadang untuk mengurangkan atau menghapuskan pemberian subsidi input pertanian seperti yang pernah dicadangkan sebelum ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr. Ronald Kiandee berkata, sebarang pengurangan atau penarikan bantuan subsidi dan insentif input pertanian secara drastik adalah tidak disyorkan pada masa ini kerana ia  akan menjejaskan pendapatan pesawah secara langsung.

RONALD KIANDEE

Malah, katanya, hasil ‘Kajian Empirikal Kesan Subsidi ke atas Pengeluaran Padi dan Pendapatan Petani’ oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2019 menyatakan bahawa kedua-dua subsidi dan insentif berasaskan input dan output masih diperlukan untuk memastikan pulangan lestari kepada pesawah pada masa ini.

“Dalam hal ini, pendekatan ini akan dilaksanakan dengan perancangan yang teratur dengan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh.

“Buat masa ini Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif berasaskan input dan output, kerajaan juga telah menawarkan kontrak kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk membekal dan menghantar input pertanian di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan dan Skim Insentif Pengeluaran Padi bagi tempoh 1 Julai 2021 sehingga 31 Disember 2023 yang bernilai RM1.82 bilion,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) sama ada Kementerian Pertanian bercadang untuk mengkaji pemberian subsidi berasaskan output dalam usaha mempertingkatkan pengeluaran padi negara di samping terus menjaga kepentingan dan kebajikan para pesawah.

Pada masa sama, Ronald berkata pihaknya sememangnya sedang mengalihkan orientasi pemberian subsidi dan insentif daripada input kepada output secara beransur-ansur.

“Sebagai contoh, program bantuan output pertanian bersubsidi iaitu Skim Subsidi Harga Padi juga telah dinaikkan daripada RM300 kepada RM360 bagi setiap 1 tan metrik padi bersih bermula Januari 2019 untuk menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi dalam kalangan pesawah.

“Kita akan terus berunding dengan Kementerian Kewangan berkenaan pelaksanaan pendekatan pemberian subsidi dan insentif yang berasaskan output yang akan menggalakkan pesawah untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi, di samping mewujudkan self regulated industry secara beransur-ansur serta mengurangkan penglibatan dan pemantauan kerajaan di sepanjang rantaian pengeluaran padi,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN