KUALA LUMPUR: Pemantauan dan penyelarasan data kewarganegaraan dalam Sistem iJPN dan Sistem ePP dilaporkan tidak memuaskan mengakibatkan kelulusan permohonan kewarganegaraan antara kedua-dua sistem itu tidak dapat disahkan.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 memaklumkan, selain itu ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek semakan dan pengemaskinian data boleh menyebabkan maklumat yang dijana dalam Sistem iJPN menjadi tidak tidak berintegriti serta boleh menimbulkan risiko kepada pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Secara keseluruhannya, pengurusan dokumen pengenalan diri di JPN adalah memuaskan apabila pendaftaran dan pengeluaran dokumen pengenalan diri penduduk Malaysia telah diurus selaras dengan kehendak Akta dan Peraturan semasa yang ditetapkan.
“JPN telah menjadi agensi rujukan utama rekod penduduk negara dan berjaya memperkenalkan MyKad sebagai kad pengenalan diri rakyat Malaysia serta kad pintar pelbagai guna.
“Walau bagaimanapun, terdapat kelemahan Sistem iJPN di mana aspek perundangan serta peraturan mandatori dalam pemprosesan dokumen pengenalan diri tidak dikawal secara sistem, tiada integrasi di antara modul dan sub modul serta kawalan ID yang kurang memuaskan,” kata laporan itu.
Justeru itu, pengauditan memberi syor audit antaranya memastikan semua keperluan perundangan, peraturan dan SOP yang merupakan mandatori dalam proses pendaftaran dan pengeluaran dokumen pengenalan diri diwujud dan ditetapkan sebagai medan mandatori dalam Sistem iJPN.
“Selain itu agihan tugas kritikal dalam proses yang melibatkan semua peringkat pegawai hendaklah ditetapkan dalam sistem dan kawalan ID diperketatkan untuk memastikan keutuhan dan integriti data.
“Laporan juga mencadangan syor iaitu menyediakan SOP yang jelas dalam proses yang melibatkan tindakan atau kelulusan bersifat sementara berkaitan semakan dan pengemaskinian status rekod kad pengenalan dengan kematian,” ujar laporan berkenaan. – UTUSAN ONLINE










