‘Langkawi kembali rancak’  - Utusan Malaysia

‘Langkawi kembali rancak’ 

Pengunjung meluangkan masa beriadah di Pantai Chenang bersama keluarga sempena pembukaan semula gelembung pelancongan domestik yang menjadikan pulau ini sebagai destinasi pertama bermula hari ini. UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Suasana suram di pulau peranginan berikutan ketiadaan pelancong sejak tahun lepas kini berubah menjadi rancak apabila seramai 3,200 orang pelancong domestik tiba di pulau tersebut hari ini.

 

Ketibaan mereka di pulau legenda itu sempena pembukaan semula pulau Mahsuri tersebut menerusi projek rintis gelembung Langkawi.

 

Seramai 2,200 pelancong tersebut tiba di sini menerusi 18 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

 

Selain itu, seramai 1,000 pelancong lagi menaiki perkhidmatan feri yang menyediakan tiga trip dan feri roro dari Terminal Feri Kuala Perlis, Perlis.

 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri  dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor menyambut ketibaan  kumpulan pertama pelancong  menaiki pesawat Boeing 737-800 MH1432 dari KLIA, Sepang dengan membawa seramai 159 pelancong yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 10.45 pagi.

 

Projek rintis gelembung pelancongan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan memberi kelegaan dan sinar baharu penggiat industri pelancongan yang telah lama terjejas susulan penutupan keseluruhan rantaian sektor pelancongan akibat penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

 

Nancy memberitahu, seramai 30,000 pelancong dijangka mengunjungi pulau ini bermula hari ini hingga 30 September ini sahaja.

 

Menurutnya, jumlah pelancong yang berkunjung ke Langkawi sehingga hujung tahun ini pula boleh mencecah seramai 200,000 orang.

 

“MOTAC telah memilih Pulau Langkawi sebagai destinasi pertama projek rintis bagi pembukaan sektor pelancongan domestik yang boleh dikunjungi bagi mereka yang memenuhi kriteria Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

 

“Seluruh Keluarga Malaysia termasuk mereka yang berada di negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara boleh datang Langkawi kecuali mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyambut ketibaan kumpulan pelancong domestik pertama yang menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini hari ini.

 

Nancy memberitahu, proses saringan dan ujian pengesanan Covid-19 terhadap pelancong sebelum berlepas di Langkawi menerusi lapangan terbang dan terminal feri juga berjalan lancar.

 

“Keputusan yang dibuat ini berdasarkan perkembangan semasa serta penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlakunya penularan pandemik Covid-19 di pulau ini,” katanya.

 

Sementara itu, Muhammad Sanusi memberitahu, walaupun pulau peranginan ini telah beralih daripada Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa Empat, namun pelancong di sini masih perlu mematuhi SOP ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

“Saya mengharapkan penduduk dan pelancong dapat memberi kerjasama dengan mematuhi SOP bagi mengelakkan penularan Covid-19 selain menjayakan projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi,” katanya.

 

Selain itu, pelancong juga diminta menjaga kebersihan apabila berkunjung ke tempat-tempat menarik di sekitar pulau ini.

 

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat pula berkata, seramai 150 anggota polis ditempatkan di 22 lokasi di pulau ini bagi memantau pematuhan SOP dalam kalangan pelancong.

 

Katanya, lokasi itu membabitkan sembilan lokasi di pusat beli-belah, diikuti 10 tempat rekreasi dan tiga di pintu masuk utama.

 

“Polis akan memastikan dan memberi nasihat kepada pelancong supaya mematuhi SOP sepanjang masa dan jika ingkar tindakan sewajarnya akan dikenakan,” katanya.

 

Beliau berkata, pemantauan turut dilakukan kepada pengunjung yang berada di tempat-tempat makan dan premis menjual makanan.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN