Kumpulan gajah Panti kerap konflik dengan manusia - Utusan Malaysia

Kumpulan gajah Panti kerap konflik dengan manusia

GAJAH betina dari kawanan kumpulan gajah Panti yang ditemukan mati di tepi jalan Batu 7, Jalan Kota Tinggi-Mersing akibat dilanggar kenderaan pada Mac lalu di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor telah mengenal pasti lima kumpulan gajah liar yang terdapat di seluruh negeri ini dengan konflik antara gajah dan manusia yang kerap dilaporkan berlaku adalah melibatkan kumpulan gajah Panti.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kumpulan gajah itu dianggarkan melibatkan kawanan sejumlah antara 30 hingga 40 ekor gajah.

Menurut beliau, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor memberi perhatian serius ke atas gangguan gajah yang berlaku di Johor terutamanya di Endau.

“Mengikut rekod sepanjang tahun 2015 hingga Julai 2021, Perhilitan Johor menerima 210 aduan konflik gajah di daerah Kota Tinggi dan telah menjalankan 716 aktiviti pemantauan dan kawalan konflik gajah di kawasan-kawasan tersebut.

“Dalam tempoh itu, 24 Operasi Tangkapan Gajah telah dijalankan melibatkan sebanyak 20 ekor gajah yang menimbulkan konflik telah berjaya dipindahkan ke habitat yang baharu dengan kos pemindahan berjumlah RM1.2 juta ditanggung Perhilitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

Tambahnya, faktor penting wujudnya konflik antara manusia dan gajah adalah disebabkan fragmentasi hutan yang terkepung dan terputus disebabkan oleh ladang dan jalan raya yang membuatkan haiwan berkenaan sukar bergerak. 

“Perhilitan telah mengambil inisiatif memasang kolar satelit bagi mendapatkan maklumat terperinci berkenaan pergerakan gajah dan Perhilitan juga dalam usaha membentuk kerjasama antara ladang-ladang yang terkesan daripada serangan gajah ini. 

“Buat masa ini sebanyak empat kolar satelit telah dipasang ke atas kumpulan gajah ini bermula tahun 2019 hingga 2020 iaitu pergerakan kumpulan gajah ini sentiasa dipantau Perhilitan Johor.

“Pemasangan kolar satelit ini berfungsi sebagai Sistem Amaran Awal bagi mengesan pergerakan kumpulan gajah agar tindakan proaktif dapat diambil segera apabila ia mendekati kawasan perkampungan atau pertanian,” katanya.

Sementara itu, Vidyananthan turut memberitahu cadangan penubuhan Santuari Gajah Johor (JES) bertujuan memperkasa pengurusan gajah di negeri ini dengan mengurangkan masalah gangguan gajah liar di kawasan pertanian dan penempatan. 

“Antara lain fungsi JES adalah turut menyediakan peluang aktiviti berasaskan ekopelancongan yang lestari dan mampu menjana sosioekonomi kepada penduduk setempat,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN