LIPIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan sebanyak RM53,000 bagi membina rumah baharu seorang mangsa angin puting beliung, Mohd. Nor Mat Saman, 57, yang rosak teruk di Kampung Chegar Perah, dekat sini.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kementerian itu juga memperuntukkan RM13,000 bagi kerja membaik pulih setiap 17 buah yang rosak di bahagian bumbung, atap dan dinding.
“Kerajaan menyediakan peruntukan segera bagi membolehkan seramai 49 orang mangsa angin puting daripada 19 buah keluarga di kampung ini kembali hidup selesa selepas selesai kerja membaikpulih kediaman masing-masing.
“Kita akan membina rumah baharu untuk seorang mangsa kerana kediamannya yang juga rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibina pada 2000 mengalami kerosakan yang teruk apabila kesemua bahagian bumbung dan atap tercabut dalam kejadian ini, manakala bahagian tiang dan lantai sudah reput,” katanya selepas melawat mangsa angin puting beliung di Kampung Chegar Perah, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang kelmarin yang berlaku selama 30 minit, sebanyak 18 buah rumah terbabit mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan atap manakala sebuah rumah PPRT milik Mohd. Nor rosak teruk serta hampir runtuh.
Sempena program lawatan itu, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis turut menyumbangkan bantuan iaitu wang tunai, bakul makanan serta peralatan tidur seperti tilam, bantal dan selimut tebal.
Sementara itu, Mohd. Nor berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada KPLB dan Pejabat Parlimen Lipis kerana membantu membina rumah baharu bagi menggantikan kediamannya yang rosak.
“Sehingga kini, saya bersama isteri dan seorang anak cuma hanya tinggal sedikit pakaian, manakala peralatan lain di dalam rumah habis rosak dan tidak boleh digunakan lagi,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, dia nampak angin puting beliung yang bergulung-gulung turun ke Kampung Chegar Perah dan dalam masa singkat menerbangkan bahagian bumbung dan atap serta beberapa keping dinding rumahnya.
“Dalam keadaan ketakutan dan basah kuyup ditimpa hujan, saya serta keluarga duduk di sudut rumah hanya mampu menyebut Allahuakbar berulang kali sambil memandang satu demi satu bahagian (rumah) tercabut dipulas puting beliung.
“Buat sementara waktu, saya dipindahkan ke sebuah rumah kosong PPRT oleh Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) sebelum kediaman baharu siap nanti,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE









