BACHOK: Seorang lelaki mengaku membakar pondok bit polis di Jelawat, di sini baru-baru ini, ekoran tidak puas hati terhadap ketegasan pihak berkuasa mengeluarkan kompaun kepada sesiapa yang ingkar prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kejadian pada awal pagi Sabtu lalu sebelum salah seorang suspek mengaku melakukan perbuatan khianat itu secara bersendirian.
Kata beliau, suspek berusia 34 tahun itu ditangkap di Kampung Gelong Badak, Jelawat, semalam.
“Motif utama pondok bit polis dibakar berpunca perasaan tidak puas hati terhadap ketegasan polis yang mengeluarkan pelbagai saman kepada mereka yang melanggar SOP,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyampaian sijil penghargaan kepada 18 anggota polis yang berjaya menyelesaikan kes tersebut bertempat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, di sini.
Shafien berkata, selepas tangkapan pertama melibatkan dua lelaki, polis berjaya menahan dua lagi lelaki pada 13 dan 14 September sebelum suspek keempat berusia 34 tahun yang ditangkap di Kampung Gelong Badak, Jelawat mengaku bertanggungjawab.
“Lelak itu pada awalnya menukar ‘cover set’ motosikal Yamaha 125 berwarna merah yang digunakan ketika membakar pondok bit polis kepada warna kuning supaya tidak dapat dikesan polis.
“Namun kita tetap berjaya menemukan motosikal terbabit termasuk cover set lama yang disembunyikan di rumahnya,” ujar beliau.
Kata Shafien, suspek yang didapati positif dadah selain memiliki dua rekod jenayah narkotik direman enam hari hingga 19 September depan bagi membantu siasatan kes yang dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
“Menjadi satu perbuatan jenayah membakar premis polis yang digunakan untuk melaksanakan tugas. Selain menyalahi undang-undang, protes yang ditunjukkan sedemikian merupakan tindakan di luar batasan,” tegasnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.12 pagi Sabtu lalu, sebahagian pondok bit polis di Jelawat terbakar dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), api dinyalakan seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal.-UTUSAN ONLINE