KANGAR: Terdapat 23 gua batu kapur yang mempunyai nilai arkeologi purba dan khazanah bersejarah perlombongan bijih timah di negeri ini sejak tahun 1909 terbiar sekali gus dikhuatiri mengundang risiko dicerobohi pihak tertentu untuk mendapatkan peninggalan warisan tersebut.
Gua-gua tersebut wujud di sepanjang Banjaran Nakawan dari Kuala Perlis sehingga Wang Kelian, Padang Besar sejauh 36 kilometer dan terkenal dalam kalangan rakyat di negeri ini yang didakwa mempunyai sejarah warisan geologi yang dikatakan berusia ratusan juta tahun.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, hasil kajian dan pemetaan yang dibuat sejak setahun lalu mendapati kebanyakan gua lombong bijih timah di Perlis terbiar tanpa usaha menjaga warisan berkenaan.
Katanya, hanya Gua Kelam 1 dan Gua Kelam 2 sahaja yang dijaga dan dijadikan lokasi pelancongan oleh kerajaan negeri setakat ini, manakala 23 gua batu kapur lain yang ada dalam rekod, dilihat terbiar.
“Ini akan menyebabkan risiko pencerobohan dan kecurian khazanah tanpa kawalan. Gua-gua batu kapur di sini mempunyai nilai dari segi sejarah, budaya, arkeologi serta warisan geologi berusia ratusan juta tahun.
“Sistem gua-gua batu kapur itu juga menjadi habitat flora dan fauna. Sejak tahun 1985 apabila aktiviti perlombongan itu dihentikan, kawasan gua-gua itu terus terbiar.
Apa yang merisaukan, tanpa pengawasan sekali lagi kita akan melalui zaman kehilangan khazanah semula jadi yang bernilai ini.
“Apabila berlaku keadaan tersebut boleh mengundang kecurian khazanah bernilai seperti kristal, peralatan (melombong bijih timah), hidupan akuatik yang dikomersilkan dan pelbagai lagi jenis flora serta fosil,” katanya di sini, semalam.
Menurut Syamil, lokasi gua batu kapur terbiar itu dikatakan bermula dari Kaki Bukit, Wang Mu dan Wang Ulu di sini yang merupakan gua paling hujung di Banjaran Nakawan itu.
Beliau berkata, suatu ketika dahulu, gua-gua berkenan menjadi lokasi terkenal aktiviti perlombongan bijih timah berkualiti tinggi.
Difahamkan, Nakawan merupakan banjaran batu kapur terpanjang dan tertua di Malaysia yang dipercayai berusia 499 juta tahun.
Aktiviti perlombongan tersebut mencapai kemuncaknya sekitar tahun 1960-an dan 70-an sebelum terhenti sepenuhnya akibat pasaran harga bijih timah dunia jatuh pada tahun 1985.

Jelas Syamil, uniknya, aktiviti bijih timah di Perlis berbeza dengan negeri-negeri lain seperti di Lembah Kinta Perak, Sungai Lembing, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur.
Beliau berkata, sebaliknya, kerja-kerja melombong bijih timah di Perlis menggunakan sistem jaringan sungai bawah tanah yang dipam keluar bersama serpihan mineral atau tanah.
“Namun, aktiviti di gua itu lebih berisiko dengan kebanyakan masa pelombong dihabiskan selama berbulan-bulan di dalam gua,” jelasnya.
Justeru, beliau berharap gua-gua batu kapur tersebut diwartakan sebagai tapak warisan negeri.
Katanya, langkah tersebut penting bagi menjaga khazanah dan warisan gua-gua batu kapur berkenaan yang cukup unik selain mempunyai nilai sejarah tersendiri.
“Kita tidak mahu gua-gua tersebut dan kawasan sekitarnya musnah akibat ‘tangan-tangan manusia ini’ selain melindungi alam semula yang cukup indah di kawasan itu.
“Bayangkan, tidak banyak tempat aktiviti perlombongan bijih timah ini dilakukan di dalam gua yang mempunyai sungai bawah tanah dan daripada situ sudah cukup menggambarkan betapa uniknya gua-gua batu kapur di negeri ini.
“Apabila diwartakan sebagai warisan negeri, risiko pencerobohan dan kecurian khazanah bernilai ini dapat dikurangkan dengan penguat kuasaan serta pendedahan kepada masyarakat akan kepentingannya,” katanya. -UTUSAN










