Kenapa SK Chuping berusia 109 tahun perlu ditutup ? soal AMK Perlis - Utusan Malaysia

Kenapa SK Chuping berusia 109 tahun perlu ditutup ? soal AMK Perlis

AMK Perlis menuntut penjelasan pihak bertanggungjawab mengenai SK Chuping berusia 109 tahun yang dikatakan akan ditutup.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Kenapa Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping berusia 109 tahun merupakan sekolah tertua di negeri ini perlu ditutup ?.

Persoalan itu dibangkitkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri dan memohon penjelasan daripada pihak bertanggungjawab mengenai keputusan tersebut.

Ketua Penerangan AMK negeri, Natthavuth Seng berkata, isu penutupan sekolah yang ditubuhkan pada 1912 itu telah lama dibangkitkan dan kini murid-murid sekolah berkenaan akan dipindahkan sementara serta berkongsi dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mata Ayer.

NATTHAVUTH SENG

Katanya, isu tersebut sudah sekian lama tergantung dan masih belum ada sebarang penjelasan daripada pihak Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan negeri Perlis serta kerajaan negeri.

“AMK Perlis dimaklumkan bahawa tiada surat rasmi dari Kementerian Pendidikan mengenai isu penutupan SK Chuping ini dan hanya terdapat surat dari Pengarah Jabatan Pendidikan negeri bertarikh 6 Mei 2019 yang telah menjemput Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Chuping untuk menyertai mesyuarat task force status pengoperasian SK Chuping pada 8 Mei 2019.

“Ketika mesyuarat berkenaan berlangsung, pihak Yang Dipertua PIBG SK Chuping telah dimaklumkan bahawa sekolah berkenaan perlu dikosongkan. Jangan pandang endah dan tidak peduli dengan penduduk di sini kerana mereka berhak mengetahui tindakan pihak bertanggungjawab mengenai isu ini,” katanya di sini hari ini.

Tambah Natthavuth, penutupan SK Chuping secara jelas boleh memberi kesan kepada pendidikan, tekanan jiwa dan keselamatan penduduk khususnya di kampung berhampiran. 

Dalam masa sama, katanya, AMK negeri juga menuntut jawapan dari kerajaan negeri jika isu keselamatan menjadi faktor penutupan itu, selain mempersoal adakah rumah-rumah penduduk serta masjid berhampiran sekolah juga akan turut dipindahkan.

“AMK Perlis juga telah turun padang bertemu Yang Dipertua PIBG SK Chuping serta penduduk-penduduk kampung bagi mendapatkan maklum balas mengenai isu ini. 

“Rata-rata mereka tidak bersetuju dengan cadangan penutupan SK Chuping ini kerana jarak dari kampung mereka untuk menghantar anak-anak ke SMK Mata Ayer sangat jauh selain isu sosial antara pelajar sekolah menengah dan rendah dikhuatiri boleh berlaku apabila berkongsi sekolah ini.

“Malah, pihak PIBG SK Chuping juga telah membuat pungutan suara dan seramai 104 orang ibu bapa membantah penutupan SK Chuping ini,” katanya.

Sehubungan itu, AMK Perlis menuntut dengan segera agar Kementerian Pendidikan dapat memberi perhatian dan memperjelaskan secepat mungkin berkenaan isu tersebut memandangkan sesi persekolahan akan dibuka pada 4 Oktober ini.

“Malah, AMK Perlis juga menuntut satu jawapan daripada Kementerian Pendidikan iaitu di manakah lokasi baharu SK Chuping yang akan dibina seperti yang dijanjikan atau pun sekolah ini hanya akan tinggal nama sahaja serta menjadi ‘sejarah’,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya