Kementerian bantah pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara - Utusan Malaysia

Kementerian bantah pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) secara dasarnya tidak bersetuju terhadap tindakan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara khususnya di peringkat awal cadangan oleh kerajaan negeri Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kementerian juga telah mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan negeri itu berhubung perkara tersebut tahun lalu.

Beliau berkata, kementerian itu memandang berat dan mengambil perhatian pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang melibatkan kehilangan sebahagian daripada keluasan asal iaitu seluas 957.63 hektar.

“Ini kerana sehingga tahun 2019, data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menunjukkan jumlah kawasan berhutan negeri Selangor adalah pada 31.74 peratus.

“Kementerian juga mengambil maklum penggantian seluas 579.64 hektar melibatkan empat kawasan hutan berasingan.

“Ia membabitkan Hutan Simpan Sungai Panjang (308.62 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Barat (149.96 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Timur (57.18 hektar) dan Hutan Simpan Broga (63.88 hektar) sebagai Hutan Simpanan Kekal,” katanya hari ini.

Takiyuddin menambah, pihaknya juga mengesyorkan agar kawasan gantian tersebut terus dilindungi dan dipulihara bagi memastikan kawasan berhutan di Selangor dikekalkan.

Takiyuddin berkata, kerajaan negeri Selangor diharap supaya memastikan kawasan hutan yang telah diwarta keluar tersebut dibangunkan dengan bertanggungjawab dan mengambil kira amalan pembangunan lestari.

“Ini bagi memastikan pembangunan yang bakal dilaksanakan tidak mengganggu gugat kawasan hutan dan ekosistem yang terletak bersebelahan, mahupun kehidupan masyarakat setempat khususnya masyarakat Orang Asli,” katanya.

Katanya, Malaysia komited dalam memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan selaras dengan komitmen yang dinyatakan di peringkat antarabangsa.

Jelasnya lagi, pemeliharaan kawasan berhutan adalah penting disebabkan oleh peranannya dalam memberikan perkhidmatan ekosistem kepada kesejahteraan hidup masyarakat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya