Kematian Covid-19 lebih rendah berbanding yang dilaporkan sejak 1 September - Utusan Malaysia

Kematian Covid-19 lebih rendah berbanding yang dilaporkan sejak 1 September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan penurunan kes kematian akibat Covid-19 apabila 100 kes direkodkan semalam, manakala jumlah melibatkan kes tertunggak yang tidak dilaporkan sebelum ini, sebanyak 592 kes. 

 

Ini kerana jumlah kematian sebenar yang dikemaskini semalam melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my, hanya merekodkan sebanyak 100 kes.

 

Jurucakap Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, jumlah kematian sebenar sebanyak 592 kes yang dilaporkan semalam merupakan bilangan pelaporan termasuk rekod daftar terdahulu.

 

“Sebenarnya, kadar kematian dalam negara sudah menurun dan rekod berkenaan boleh dirujuk di laman rasmi khas Covid-19 negara,” katanya, hari ini. 

 

Bagi kategori kematian yang dibawa ke hospital, sebanyak 88 kes dan 724 pesakit memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) serta 1,272 kes yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 239,351 kes aktif.

 

Melalui carta kes kematian itu juga, terdapat penurunan kematian sebenar iaitu pada 10 September, kematian yang dilaporkan sebanyak 341 kes tetapi kematian sebenar melibatkan Covid-19 adalah 125 kes dan sehari sebelumnya pula, 323 kes kematian tetapi kematian Covid-19 adalah 142 kes. 

 

Carta itu menunjukkan kematian penurunan kes bermula 1 September lalu dengan 278 kes dilaporkan tetapi kematian sebenar adalah sebanyak 223 kes dan ini membuktikan Malaysia kini merekodkan penurunan kes kematian yang konsisten.

 

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 19,198 kes berbanding semalam, 19,550 kes sekali gus diatasi 20,980 kes sembuh manakala 1,298 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 744 kes memerlukan bantuan pernafasan. 

 

Katanya, Sarawak terus menjadi penyumbang tertinggi iaitu 5,291 kes diikuti Selangor (2,347), Johor (2,110), Sabah (1,717), Kelantan (1,435), Pulau Pinang (1,309), Kedah (1,256) dan Perak (1,118). 

 

“Lima negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Terengganu (930), Pahang (584), Kuala Lumpur (376), Melaka (340) dan Negeri Sembilan (283). 

 

“Perlis pula mencatatkan 67 kes dan Putrajaya, 32 kes manakala Labuan hanya tiga kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Mengulas mengenai 34 kluster baharu, beliau berkata, tempat kerja mencatatkan 17 kluster, 14 kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster keagamaan. 

 

Kluster tempat kerja katanya, 10 di Johor, dua di Perak, dua di Pulau Pinang manakala Kelantan, Sarawak dan Putrajaya, masing-masing satu kluster. 

 

“Bagi kluster komuniti, sembilan di Kelantan, dua di Sarawak manakala Perak, Kedah dan Johor, masing-masing satu kluster. 

 

“Kluster kumpulan berisiko tinggi pula, satu di Johor dan satu di Kelantan manakala kluster keagamaan, satu di Pahang,” katanya. 

 

Tambahnya, daripada 19,198 kes positif yang dilaporkan pada hari ini, 253 kes (1.3 peratus) adalah kategori tiga, empat, dan lima manakala 18,945 kes (98.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN