RAUB: Rumah peninggalan Mona Fandey atau nama sebenarnya Maznah Ismail di Kampung Perus, Ulu Dong di sini tidak wajar dikekal atau dijadikan monumen sejarah kerana ia membawa kesan negatif.
Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Dr. Aripin Said berkata, tragedi yang pernah menggemparkan negara itu seharusnya hanya kekal sebagai rekod dalam fail jenayah mahkamah dan polis, bukannya diangkat sebagai simbol sejarah.
Katanya, mengekalkan rumah tersebut sebagai monumen hanya membuka ruang kepada dendam berpanjangan dan menghidupkan kembali luka lama yang tidak sepatutnya diungkit.
“Perkara yang berlaku sangat tragis. Ia tidak wajar dijadikan sesuatu yang utama kerana sejarah itu bukan membina, sebaliknya boleh meruntuhkan maruah dan kehormatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, tragedi pembunuhan kejam oleh Mona Fandey bukan sekadar kisah jenayah ngeri dan menyayat hati, tetapi turut menjadi simbol pertembungan antara mistik, politik dan hiburan yang menggegarkan negara lebih tiga dekad lalu.
Mona Fandey bersama suaminya, Mohd. Affandi Abdul Rahman dan pembantu pasangan itu, Juraimi Husin dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Mohd. Mazlan Idris pada Julai 1993.
Dr. Aripin berkata, masyarakat perlu membezakan antara warisan yang membawa nilai patriotik dengan peninggalan yang hanya mengingatkan kepada jenayah.
Katanya, sebagai contoh, muzium perang di Pulau Pinang dijadikan tempat ingatan kerana ia menzahirkan semangat patriotik dan cinta negara, bukan kerana tragedi yang mencalar maruah bangsa.
“Warisan yang diangkat mestilah memberi inspirasi, membangkitkan semangat perjuangan dan menyatukan rakyat. Rumah peninggalan Mona Fandey tidak mempunyai nilai tersebut.
“Memulihara warisan perlu berpaksikan nilai kebangsaan, budaya dan sejarah,” katanya. – UTUSAN










