Kemalangan latihan eksesais tentera diminimumkan - Utusan Malaysia

Kemalangan latihan eksesais tentera diminimumkan

AFFENDI Buang (kiri) bersama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad (kanan) semasa ditemui pemberita semasa penutupan Eksesais Ababil di Lasarud, Kota Belud hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BELUD: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berusaha meminimumkan kejadian kemalangan semasa menjalankan latihan eksesais bagi menguji keupayaan aset-aset ketenteraan.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, kemalangan yang berlaku ketika eksesais pada masa ini amat terpencil dan jarang berlaku kerana mereka sudah menjalani latihan yang mencukupi.

“Apabila sesuatu latihan dilakukan memang kita melakukannya seperti perang sebenar jadi, risiko itu memang tinggi.

“Namun, sekiranya kemalangan masih berlaku, ia berada di luar kawalan jadi, kita akan cuba untuk meminimumkan risiko kemalangan semasa eksesais,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutupan Eksesais Ababil 2021, di Lapang Sasar Udara (Lasarud), hari ini.

Pada 29 Ogos lalu, seorang anggota tentera ditemukan lemas selepas terlibat dalam latihan eksesais Para Predator di Bera Pahang.

Dalam pada itu, Affendi berkata, pihaknya akan sentiasa menaik taraf teknologi dan menyelenggara aset-aset ketenteraan secara berkala bagi memastikan setiap aset berada dalam keadaan yang baik.

“Biarpun pesawat kita sudah berumur namun, kita mahu memastikan ia boleh digunakan secara efektif.

“Kita tidak mahu aset-aset kita tidak boleh digunakan sekiranya berlaku sebarang ancaman terhadap pertahanan negara. Eksesais ini sentiasa kita lakukan,” katanya.

Jelas beliau, aset yang digunakan dalam Eksesais Ababil ini kebanyakan diperoleh pada 1990-an tapi, tidak semestinya aset yang ada ini usang kerana penyelenggaraan sentiasa dilakukan dan sistem persenjataan sentiasa ditambah baik.

“Kita mahu sesebuah pesawat itu efektif apabila digunakan dan kos penyelenggaraan juga rendah.

“Malah, aset yang digunakan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini semuanya aset terkini,” katanya.

Tambah beliau, aset-aset baharu akan cuba didapatkan apabila sampai jangka masa tertentu. Proses perolehan akan dibuat bagi menggantikan pesawat TUDM yang sudah mencapai umur tertentu dan tidak efektif lagi untuk digunakan.

Bagaimanapun, proses menggantikan aset-aset ini bergantung kepada sumber kewangan yang ada. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN