Keluarga UiTM teruskan sasaran capai 200,000 pelajar - Utusan Malaysia

Keluarga UiTM teruskan sasaran capai 200,000 pelajar

Dr. ROZIAH MOHD JANOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sasaran untuk mencapai jumlah mahasiswa seramai 200,000 orang akan diteruskan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baharu, Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor dengan menerapkan semangat ‘Keluarga UiTM’.

Seiringan dengan misi itu juga, Pelan Strategik 2025 yang dilancar pada Februari tahun lalu juga akan diteruskan bagi mencapai visi UiTM institusi terbesar negara muncul sebagai antara universiti terkemuka dunia.

Roziah dalam ucapan sulungnya sebagai Naib Canselor sejak menerima pelantikan daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada Jumaat lalu mahu mengimbangi kuantiti dan kualiti dalam apa jua keadaan.

“UiTM mesti terus mencari jalan mengimbangi kuantiti dan kualiti dalam apa keadaan sekalipun terutama meletakkan isu cabaran mengurus kesihatan dan status vaksin warga di samping mencari jalan kreatif.

“Kita berhasrat menjadikan UiTM ini sebuah universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025. Justeru, saya sebutkan di sini saya akan teruskan pelaksanaan Agenda UiTM 2025 ini dengan memberi penekanan kepada sedikit penambahbaikan terutama kepada aspek penjajaran kepada peruntukan bajet tempoh pelaksanaan atau roll-out, cara ia dilaksana dan juga pelaburan impak,” katanya.

Beliau menambah, reputasi UiTM akan terus diperbaiki meliputi aspek penyelidikan, penerbitan, pencapaian pelajar, kebolehpasaran graduan, sukan, debat kokurikulum, keusahawanan dan kepimpinan serta latihan.

Terdahulu, Roziah merupakan Timbalan Naib Canselor Akademik pada November sejak tahun lalu sebelum dilantik sebagai Naib Canselor wanita pertama UiTM. Beliau juga sebelum itu pernah mengetuai Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (INQA) sebagai Penolong Naib Canselor.

Beliau juga sebelum ini bertanggungjawab membawa UiTM dalam 17 peratus universiti terbaik di Asia apabila berjaya melonjakkan kedudukan ke tangga 108 berbanding 181 pada 2017.

Dalam pada itu, Roziah yang kini mengetuai seluruh sistem UiTM dengan 32 buah kampus seluruh negara turut menekankan amalan integriti dalam pengurusan pelbagai peringkat harus dipertingkatkan.

Katanya, usaha penambahbaikan dan penjajaran sasaran penunjuk aras prestasi (KPI) kepada bajet serta pemantauan pencapaian setiap tiga bulan yang sudah dimulakan sejak pelancaran pada Februari 2020 akan diteruskan.

“Cuma ada inisiatif terutama penjanaan dan penjimatan kewangan mesti saya ulang suara mesti diimbas dan dipantau secara lebih kerap, pelaksanaan inisiatif dan projek akan dipantau menepati semua tatacara tadbir urus yang tangkas atau agile, berintegriti serta bertanggungjawab.

“Akta 605 (Badan Berkanun), 173 (UiTM 1976) dan 174 (Institusi Pelajaran) diharap akan dirujuk oleh semua pihak berkaitan apabila membuat keputusan. Kita mesti mengelak daripada terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa dan menindas mana-mana pihak yang di bawah seliaan kita,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya