LANGKAWI: Pengusaha pelancongan di sini menganggap mendapat kebenaran polis sebelum mengunjungi pulau peranginan ini sebagai membebankan.
Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) tersebut dibimbangi menjejaskan minat orang ramai untuk bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan di Langkawi yang akan dibuka kepada pelancong bermula 16 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainudin Kadir berkata, pihaknya merasakan tiada keperluan untuk mendapatkan kebenaran polis kerana sebab pengusaha pelancongan di sini akan menyemak sama ada semua pengunjung sudah lengkap divaksin sebelum membenarkan mereka masuk ke premis dan melakukan aktiviti pelancongan.
“Kita bimbang orang ramai akan rasa prosedur ini menyusahkan yang akan memberi kesan kepada jumlah pengunjung ke Langkawi,” katanya di sini, semalam.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan orang ramai perlu memohon kebenaran polis jika mahu ke Pulau Langkawi bermula 16 September ini.
Seorang pemain industri pelancongan, yang merupakan salah seorang pemilik rumah tamu Langkawi Country Lodge, Norhayati Abdullah berkata, memohon kebenaran pihak polis adalah prosedur berulang.
“Saya sendiri akan pastikan kesemua yang menginap di sini lengkap divaksin, jadi apa perlunya lagi surat polis,” ujarnya.
Pemilik JM Watersports, Mohd Jafri Juhari pula menyatakan, status vaksinasi boleh terus disemak di aplikasi MySejahtera, jadi kebenaran polis adalah tidak diperlukan.
“Pengunjung yang menggunakan perkhidmatan feri juga akan disemak status vaksinasi mereka, dan kami juga akan melakukan perkara sama, jadi kebenaran polis sebelum melancong akan membebankan pengunjung yang ingin ke Langkawi,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Operasi Kampung Guest House, Mohd. Farizal Padzil berkata, operator pelancongan yang membenarkan pengunjung yang tidak lengkap vaksinasi boleh didenda oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, jelasnya, mereka yang tidak memenuhi kriteria tersebut tidak akan dibenarkan menginap kerana tidak mahu menanggung risiko didenda.
Pengurus Operasi Langkawi Outdoor Explorer, Mohd. Khairi Md. Nayan pula berpendapat SOP yang memerlukan kebenaran polis adalah menyusahkan tetapi perlu dilakukan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di pulau ini.
“Kita bimbang ada pengunjung yang menipu status vaksinasi mereka, jadi jika dengan kebenaran polis, kemungkinan untuk mereka menipu adalah lebih rendah kerana akan mengalami risiko tidak diberikan kebenaran,” ujarnya. -UTUSAN










