Kebenaran beroperasi beri nafas baharu buat pengusaha katering - Utusan Malaysia

Kebenaran beroperasi beri nafas baharu buat pengusaha katering

MOHD. Faiz Mohd. Zain mengemas dan membersihkan semula peralatan perniagaan katering yang diusahakannya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Tebat Ilir, Bahau, Jempol kelmarin.-UTUSAN/NURUL AZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Ekoran majlis sosial seperti kenduri-kendara tidak boleh dilaksanakan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, seorang pengusaha katering, Mohd. Faiz Mohd. Zin, 36, kerugian hampir RM30,000.

Semuanya selepas pelanggannya membatalkan tempahan dan mengambil semula deposit yang telah diberikan sebelum itu.

Mohd. Faiz pada ketika itu mengakui buntu untuk menghadapi keadaan tersebut malah ada juga pelanggan yang membuat laporan polis terhadapnya.

Namun, apabila Negeri Sembilan beralih ke Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan majlis keraian dibenarkan kembali dianjurkan, ia ibarat seperti memberikan nafas baharu terutama pengusaha katering sepertinya.

“Tentunya ia dapat memulihkan semangat serta memulihkan semula perniagaan katering saya ke seperti biasa.

“Tetapi apa yang lebih penting, ia dapat memberi peluang kerja kepada petugas katering termasuk tukang masak, pelayan majlis dan mereka yang berkaitan seperti pengusaha kanopi dan andaman pengantin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Tebat Ilir, Bahau di sini kelmarin.

Dia yang sudah terlibat dalam perniagaan tersebut selama enam tahun memberitahu, pelanggan yang sebelum ini membatalkan tempahan daripadanya ada yang kembali membuat tempahan.

“Kebanyakan pelanggan mahu meneruskan majlis cuma ada perbincangan semula termasuk berkenaan bilangan tetamu yang akan hadir. Ada juga sebahagiannya yang memilih tidak meneruskan majlis yang dirancang dan pembayaran balik deposit telah dilakukan.

“Saya harap selepas ini, majlis-majlis sosial dapat diteruskan tetapi dengan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya yang turut menerima tempahan daripada jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN