PUTRAJAYA: Cadangan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen perlu dikaji secara mendalam bagi mengelakkan timbul sebarang isu pada masa depan.
Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Azmir Mohd. Nizah berkata, antara aspek yang perlu diteliti ialah dari segi peranan dan pengurusan operasi.
Beliau berkata, ketika ini SPRM diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan berfungsi sebagai agensi penguat kuasa antirasuah bebas.
“Sekiranya SPRM diletakkan di bawah Parlimen, persoalannya ialah adakah SPRM perlu menjawab kepada semua ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara atau mana-mana pihak yang berkepentingan.
“Saya yakin dan percaya bahawa SPRM ini sangat profesional dan akan menjalankan tugas dengan penuh integriti sekiranya tidak diletakkan di bawah Parlimen.
“Bagaimanapun, perkara ini perlu dikaji dengan teliti bagi mengelakkan sebarang campur tangan daripada mana-mana ahli Parlimen pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Mohd. Azmir mencadangkan agar kedudukan SPRM diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong.
Selain itu, katanya, peranan SPRM dicadangkan terus dikekalkan sepertimana sekarang namun diperkukuhkan lagi dengan diberikan kuasa mendakwa dan bukannya sekadar menyiasat semata-mata.
Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr. Rais Yatim mencadangkan agar SPRM diletakkan terus di bawah Parlimen.
Kata Rais, mereka bersetuju dengan pandangan banyak pihak yang mahu agensi itu bebas berkecuali tanpa pengaruh tekanan politik pihak eksekutif.
Rais, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, berkata cadangan SPRM diletakkan di bawah Parlimen itu juga akan diperincikan dalam sudut Perlembagaan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.
Sementara itu, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ada kebaikan dan kelemahan jika SPRM diletakkan di bawah Parlimen.
Beliau berpendapat, kelemahannya ialah SPRM mungkin terpaksa ‘bergelumang’ dengan pengaruh politik.
Dari sudut sisi lain pula, kata beliau, badan eksekutif wajib menyatakan akauntabiliti mereka di Parlimen yang mana prinsip ‘semak dan imbang’ Parlimen terhadap setiap keputusan dan tindakan pihak eksekutif memastikan semua menteri prihatin terhadap apa jua yang mereka lakukan di luar Parlimen khususnya berkaitan tanggungjawab mereka sebagai menteri.
“Untuk SPRM pula, kita perlu teliti apakah ruang lingkup pertanggungjawaban SPRM jika ia diletak di bawah Parlimen. Adakah ia bermaksud SPRM mempunyai akauntabiliti penuh kepada Parlimen atau bagaimana?
“Jika ya, maka setiap keputusan yang SPRM buat akan dipersoal dan diteliti oleh Parlimen. Jika ia membawa kebaikan daripada segi ketelusan, integriti akan dijaga dan amanah kepada tugas serta tanggungjawab dapat dipertingkat maka kualiti tugas dan keberhasilan SPRM akan bertambah baik, saya rasa ia satu keputusan yang betul,” katanya.- UTUSAN ONLINE









