Jururawat rayu bapa pulang, selesaikan dakwaan hutang RM 50,000 - Utusan Malaysia

Jururawat rayu bapa pulang, selesaikan dakwaan hutang RM 50,000

NG (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat kerana diganggu pengutip hutang yang mendakwa bapanya meminjam RM50,000 di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang wanita berharap bapanya pulang ke rumah dengan segera bagi menyelesaikan masalah hutang tertunggak selain tidak tahan menerima pelbagai gangguan dan ugutan sejak lebih 10 bulan lalu.

 

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, 31, itu memberitahu, bapanya telah meninggalkan kediaman keluarga mereka di Indahpura, Kulai sebelum gangguan dan ugutan itu bermula.

 

“Pada 12 Disember lalu ketika sedang bekerja di sebuah klinik, saya menerima panggilan telefon daripada adik memberitahu ada tiga lelaki membuat bising di depan rumah kami.

 

“Saya terus bergegas ke rumah untuk melihat apa yang berlaku dan mereka mendakwa bapa saya yang berusia 55 tahun telah meminjam wang sebanyak RM50,000 dan perlu membayar hutang tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Ng mendapatkan bantuan Biro Pengaduan Awam MCA yang diwakili Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon dan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Pasir Gudang, Lim Thow Siang.

 

Tambah wanita yang bekerja sebagai jururawat itu, ketika dia meminta dokumen sebagai bukti bapanya membuat pinjaman berkenaan, lelaki terbabit enggan membuktikan selain terus mendesaknya untuk membayar hutang tersebut.

 

“Saya enggan membayar hutang berkenaan kerana bukan saya yang meminjam dengan mereka tetapi sejak daripada itu mereka terus mengganggu kami.

 

“Antara cara yang dilakukan termasuklah menggunakan pembesar suara untuk memberitahu jiran-jiran bahawa kami berhutang dengan mereka selain menaikkan kain rentang,” ujarnya.

 

Tambah Ng, dia telah bertanyakan perkara itu kepada bapanya, namun, bapanya tidak memberikan jawapan sama ada dia benar meminjam sejumlah wang itu atau tidak.

 

“Bapa saya tidak mahu berterus terang dengan kami, jadi kami pun tidak tahu sama ada perkara ini betul atau tidak, dia cuma beritahu agar jangan mengangkat panggilan telefon syarikat peminjam wang berkenaan.

 

“Namun, sehingga hari ini, pihak berkenaan masih melakukan gangguan saban hari,” katanya yang turut memberitahu akibat perkara itu, ibunya sentiasa berada dalam keadaan kebimbangan.

 

Sehubungan itu, dia berharap bapanya akan pulang untuk menyelesaikan masalah berkenaan kerana bukan mereka yang membuat pinjaman tersebut.

 

Sementara itu, Jian Boon berkata, syarikat peminjam wang berkenaan perlu menghentikan gangguan yang dilakukan terhadap keluarga ini kerana mereka telah menerima tekanan akibat perbuatan tersebut.

 

“Adalah tidak adil untuk keluarga ini dipaksa membayar hutang yang didakwa dibuat oleh bapa mereka kerana tiada sebarang dokumen diberi untuk membuktikan perkara itu. Apatah lagi, tiada seorang pun ahli keluarga ini yang menandatangani apa-apa dokumen selaku penjamin, jadi tindakan mereka adalah salah,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya