YAN: Penduduk Kampung Telok Mat Acheh merayu pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Perparitan Saliran (JPS) membersihkan segera anak sungai di belakang rumah penduduk yang tertimbus selepas kejadian kepala air di Gunung Jerai di sini pada 18 Ogos lalu.
Anak sungai sepanjang 400 meter itu sebelum ini mengalir dari belakang rumah penduduk sebelum berakhir di longkang besar hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Nyak Gam.
Malah, longkang besar itu juga telah dipenuhi tanah dan pasir yang dibawa arus deras dalam kejadian tersebut.
Seorang penduduk, Halim Mat Rejab, 70, berkata, air anak sungai tersebut bertakung dan melimpah memasuki pekarangan rumah penduduk selepas hujan lebat kerana alurnya tertimbus.
“Saya merayu pihak berkuasa tempatan dan JPS membersihkan anak sungai ini segera kerana ia turut menyebabkan tanah di kawasan rumah saya mendap berikutan air bertakung.
“Hujan lebat beberapa kali dalam tempoh terdekat ini telah menyebabkan kawasan rumah saya dinaiki air kerana anak sungai itu tidak mengalir ke longkang besar seperti biasa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pada 29 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan tragedi kepala air pada 18 Ogos bukan sahaja memusnahkan harta benda dan meragut enam nyawa, tetapi turut mengubah landskap beberapa perkampungan di kaki gunung tersebut.
Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Shukor, 58, pula berkata, dia bimbang keselamatan harta benda keluarganya terancam jika anak sungai berdekatan tidak dibersihkan segera.
“Walaupun keluasannya tidak seperti sungai lain namun disebabkan telah tertimbus sejak kejadian kepala air telah menyebabkan air bertakung.
“Keadaan tersebut juga mengakibatkan air di anak sungai itu yang bertakung berbau busuk dan menjadi tempat pembiakan nyamuk yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit lain,” katanya.
Hamidah Hamid, 58, berkata, mereka tidak berkemampuan untuk membersihkan anak sungai itu dan berharap pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan.
Menurutnya, kebanyakan penduduk masih trauma selepas rumah mereka dimasuki air dalam kejadian arus deras.
“Keadaan tersebut menyebabkan penduduk berada dalam keadaan cemas setiap kali hujan lebat,” katanya.- UTUSAN ONLINE










