Jauhi ajaran meragukan - Utusan Malaysia

Jauhi ajaran meragukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Mufti Negeri Perak menggesa masyarakat Islam di negara ini mengambil beberapa pendekatan kawalan kendiri bagi mengelakkan diri mudah terpengaruh dengan ajaran meragukan yang tidak berlandaskan fahaman Islam sebenar.

Gesaan itu dikeluarkan berikutan kemunculan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang menarik minat sebahagian umat Islam sehingga ada yang percaya dan taksub dengan ajaran tersebut.

Dalam kenyataannya di sini hari ini, jabatan itu meminta masyarakat agar peka dengan iklim persekitaran akidah semasa daripada tergelincir dari landasan ajaran Islam sebenar, di samping memelihara legasi akidah yang disemai dengan subur sejak zaman Rasulullah, para Sahabat dan Salafussoleh.

“Antara pendekatan yang boleh dilakukan ialah berwaspada terhadap sebarang fahaman dan ajaran mencurigakan bertujuan mengelirukan umat Islam daripada ajaran sebenar.

“Masyarakat juga harus merujuk kepada alim ulama yang dikenal pasti mempunyai kepakaran dan keabsahan mereka dalam bidang agama,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, umat Islam mesti merujuk kepada pihak berautoriti seperti jabatan mufti negeri, jabatan agama negeri dan pejabat agama daerah untuk mendapat maklumat dan pengesahan bagi sesuatu ajaran.

Pada masa sama, jelasnya, masyarakat Islam perlu menambah kefahaman terhadap ilmu agama agar dapat memahami pelbagai disiplin ilmu Islam dengan baik

Bagi mereka yang pernah terlibat dengan ajaran yang jelas menyimpang daripada ajaran Islam sebenar, maka mereka perlu bertaubat dan kembali menghayati ajaran Islam sebenar.

Menurut kenyataan itu lagi, antara dakwaan pemimpin dalam ajaran PMYT ialah kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga yang akan bermula di Sabah selain mendakwa sedang memimpin sebuah pasukan bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musih. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN