PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan kesediaan untuk membantu memberi bimbingan kepada Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang terlibat dengan kes berpakaian wanita.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, Jakim menyokong proses perundangan terhadap Nur Sajat oleh Jabatan Agama Islam Selangor demi menegakkan keadilan kepada semua pihak.
“Jakim sedia membantu Muhammad Sajjad dalam bentuk bimbingan dan sokongan emosi sekiranya diperlukan setelah beliau melalui proses undang-undang sewajarnya.
“Sebagaimana komitmen kerajaan selama ini, Jakim dengan fungsi yang ada akan sentiasa menyantuni semua pihak termasuk golongan transgender bagi memastikan hak-hak mereka dipenuhi selaras tuntutan agama dan undang-undang.
“Jakim turut berharap agar masyarakat dapat bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berkaitan isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, usahawan terbabit ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok, Thailand, bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan seperti wanita ketika serbuan pihak imigresen.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengesahkan penangkapan Nur Sajat oleh pihak imigresen Thailand, pada pukul 6 petang 8 September lalu.
Nur Sajat pada 9 September lalu didakwa di mahkamah Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara terbabit namun dia dibebaskan sehari kemudian dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.
Mahkamah Tinggi Syariah pada 23 Februari lalu, mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu. – UTUSAN ONLINE