Isu calon timbalan speaker: Bersatu ada prinsip tidak akan dikompromi - Utusan Malaysia

Isu calon timbalan speaker: Bersatu ada prinsip tidak akan dikompromi

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu berunding dahulu mengenai nama calon yang bakal memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai prinsip yang tidak akan dikompromi. 

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, partinya boleh bersetuju dengan sebarang cadangan calon daripada parti politik lain namun Bersatu juga mempunyai pendirian dalam sesuatu hal yang berbangkit.  

“Pandangan Bersatu dalam isu berkait integriti dan urusan mahkamah sentiasa konsisten dan sedia diketahui umum. Kita boleh bersetuju dengan cadangan calon dari parti lain, tetapi runding dahulu nama calon itu kerana parti Bersatu ada prinsip tegas yang tidak akan kita kompromi.

“Sewajarnya perkara-perkara besar dalam kerajaan yang berbentuk gabungan pelbagai parti seperti yang kita ada hari ini haruslah mengambil kira pandangan semua ahli keluarga dalam kerajaan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini. 

Hantaran itu disertakan dengan tangkap layar yang memaparkan laporan berita Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai isu calon timbalan speaker. 

Memetik laporan media tempatan, Ahmad dilaporkan enggan mengulas mengenai dakwaan Bersatu berkecuali daripada menyokongnya sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat. Sebaliknya, ahli Parlimen Pontian itu berkata, cakap-cakap itu harus ditanyakan kepada pemimpin Bersatu. 

Untuk rekod, Ahmad sedang dibicarakan kerana pertuduhan pengubahan wang haram dan memberikan kenyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung lebih RM2 juta yang diterimanya dari Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2013.

Najib pada Julai tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. dan sedang mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu. 

Baru-baru ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi mendakwa Bersatu menolak pencalonan Ahmad sebagai timbalan speaker namun sumber lain dari Bersatu pula menafikan dakwaan tersebut. 

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kedudukan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak berubah dengan Datuk Azhar Azizan Harun kekal dalam jawatan itu manakala jawatan timbalannya yang kosong difahamkan akan diisi oleh Ahmad setelah Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan berkuatkuasa 23 Ogos lalu dengan harapan pengundurannya membolehkan ‘reset’ pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.  – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya