Ibu Adib sedih kes ditutup - Utusan Malaysia

Ibu Adib sedih kes ditutup

ASMA AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keluarga Muhammad Adib Mohd. Kassim sedih dan kecewa selepas dimaklumkan siasatan berhubung kes kematian anggota bomba itu ditutup sementara dan akan dibuka semula sekiranya terdapat bukti baharu.

Menurut ibunya, Asma Aziz, 54, dia dan suaminya, Mohd. Kassim Hamid, 65, sebelum ini langsung tidak dimaklumkan oleh pihak berkuasa mengenai kes anak mereka itu ditutup sementara.

Sebaliknya, katanya, mereka hanya mengetahui perkara tersebut menerusi laporan media sahaja.

“Kami berharap kes kematian anak kami diteruskan kerana sehingga hari ini nasib Muhammad Adib belum lagi terbela. Walaupun kes ini ditutup sementara tetapi kami mahu siasatan tetap diteruskan sehingga mendapat petunjuk baharu.

ALLAHYARHAM MUHAMMAD ADIB MOHD. KASSIM

“Selain itu, kami juga tidak pernah jemu untuk menanti hasil siasatan yang dilakukan walaupun kes itu sudah berlanjutan hampir tiga tahun lalu.

“Sebagai seorang ibu sudah pasti mahukan keadilan ditegakkan dan mereka yang bersalah perlu menerima hukumannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Tebengau dekat sini semalam.

Menurut Asma, sebelum ini, keluarganya percaya pemimpin kerajaan yang baharu sekarang dapat memperjuangkan nasib anaknya seperti dicanang sebelum menjadi kerajaan.

“Bagaimanapun saya kecewa apabila pemimpin sekarang pun tidak ada beza dengan kerajaan terdahulu,” ujarnya.

Selain itu, ibu kepada empat anak itu berkata, dia juga kecewa dengan pelbagai janji yang ditabur sebelum ini termasuk memberi pampasan selepas kematian Muhammad Adib, namun sehingga hari ini belum mendapat sebarang pampasan dan bantuan.

Katanya, antara pihak yang menabur janji tersebut ialah Kementerian Perumahan Kerajaan dan dan Tempatan

“Setakat ini, keluarganya hanya menerima wang pencen Muhammad Adib sebanyak RM375 sahaja setiap bulan, ” katanya.

Muhammad Adib merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan mengalami cedera parah dalam rusuhan di tapak kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 lalu.

Beliau terpaksa bertarung nyawa selama 21 hari dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Sabtu lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan sebagai berkata, kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN