ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mendesak kerajaan menghapuskan peranan ‘tangan ghaib’ atau orang tengah yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menaikkan harga ayam secara sesuka hati.
Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff, tindakan pihak ‘tangan ghaib’ itu memberi kesan terhadap penternak, peniaga ayam dan pengguna.
Menurutnya, penglibatan orang tengah telah lama berleluasa, tetapi, masih gagal ditangani dengan sepenuhnya.
“Kadang-kadang, ada lima hingga tujuh lapis daripada penternak sebelum ayam sampai kepada pengguna menyebabkan harga ayam di pasaran meningkat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Pertanian, dan industri makanan perlu memikirkan cara untuk mengurangkan penglibatan orang tengah dalam memastikan harga ayam segar kekal berpatutan dan tidak naik secara melampau.
“Agensi-agensi di bawah kementerian itu boleh bertindak sebagai orang tengah atau pemborong,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan bercadang untuk menetapkan harga siling ayam segar sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi kenaikan mendadak makanan paling popular di negara ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid turut memaklumkan, kerajaan juga bercadang untuk memberi subsidi kepada sekurang-kurangnya 20 penternak berskala besar di negara ini bagi menstabilkan harga ayam di pasaran.
Dalam pada itu,, menurut Mohamad Yusrizal, cadangan kerajaan untuk memberikan subsidi kepada penternak ayam berskala besar bukan langkah terbaik untuk menstabilkan harga barangan mentah itu di pasaran.
Jelasnya, kerajaan sebaliknya perlu mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang yang akhirnya memberi situasi menang-menang kepada penternak dan pengguna.
“Pemberian subsidi kepada penternak terpilih setiap kali berlaku kenaikan melebihi harga siling ditetapkan kelak bukan caranya kerana situasi itu menyebabkan ada pihak akan mengambil kesempatan. -UTUSAN ONLINE










