KUALA LUMPUR: Kaedah mengenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan (FTTIS) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini perlu diganti dengan sistem yang mempunyai kebolehan digital secara menyeluruh.
Pendekatan itu bertujuan menambah baik strategi sedia ada yang digunakan dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kesihatan awam supaya langkah menjejak dan mencegah jangkitan Covid-19 dapat dilakukan dengan lebih pantas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigedier Jeneral Dr. Mohd. Arshil Moideen berkata, dengan sistem digital itu diyakini dapat menyelesaikan kaedah sedia ada yang didakwa kurang berkesan dalam menangani wabak berkenaan.
“Maksudnya, semua proses ini perlu menggunakan saluran digital sepenuhnya yang mampu memproses, mengintegrasi dan melaksanakan tindakan-tindakan pengesanan dan kawalan secara automatik dan pantas.
“Saya percaya, dengan strategi ini, keberkesanan langkah-langkah kesihatan awam di seluruh negara dapat ditingkatkan khususnya dalam pengesahan kes, pengesanan kontak rapat, pencegahan penularan dan pengesanan kes-kes yang memerlukan rawatan awal,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Baru-baru ini Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin mendakwa FTTIS adalah strategi salah dan menuntut kerajaan meneliti semula pelaksanaannya kerana dilihat tidak dapat mengesan corak penyebaran virus.
Katanya, Malaysia masih menggunakan kaedah manual sepenuhnya walhal negara luar yang berjaya mengawal penularan Covid-19 menggunakan analisis data canggih untuk membolehkan pengesanan kontak rapat dilakukan lebih menyeluruh.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Arshil berkata, strategi pengesanan kes Covid-19 juga perlu mengambil kira peralihan langkah-langkah kawalan pandemik kepada pengurusan endemik.
“Hal ini kerana, perkembangan baharu menunjukkan kes-kes jangkitan tidak dapat dihapuskan sepenuhnya dan jangkitan dalam bentuk breakthrough atau jangkitan dalam kalangan mereka yang telah divaksinasi masih boleh berlaku,” katanya.
Beliau yang juga Komander Bersama Pasukan Tindakan Khas Lembah Klang (GKV STF) berkata, walaupun pengambilan vaksin tidak dapat mencegah jangkitan wabak sepenuhnya, ia terbukti berkesan mengurangkan risiko jangkitan yang kritikal. – UTUSAN ONLINE










