Guan Eng nafi langgar tempoh kuarantin, hanya diberitahu kontak rapat 2 Sept. - Utusan Malaysia

Guan Eng nafi langgar tempoh kuarantin, hanya diberitahu kontak rapat 2 Sept.

LIM GUAN ENG ketika menghadiri sidang DUN Pulau Pinang pada 2 September lalu yang mencetuskan kontroversi dan dakwaan beliau melanggar tempoh kuarantin kendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menafikan beliau melanggar perintah kuarantin kendiri dari 1 hingga 10 September lalu berikutan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 September lalu. 

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, beliau hanya diberitahu pada 2 September setelah menghadiri sidang DUN yang mana beliau mungkin menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit positif Covid-19 pada 1 September. 

Sehubungan itu jelasnya, beliau telah tinggal di rumahnya di bawah kuarantin kendiri selepas menghadiri sidang DUN pada 2 September sebelum kemudiannya diuji negatif. 

“Pada 6 September, Kementerian Kesihatan secara rasminya telah mengeluarkan arahan kuarantin kendiri di rumah dari 1 sehingga 10 September dan mewajibkan saya memakai gelang merah jambu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dalam pada itu Guan Eng menafikan  beliau keluar ke tempat awam termasuk untuk mengedarkan bakul makanan selepas 2 September seperti yang didakwa beberapa pihak berdasarkan hantaran di dalam media sosial Facebooknya. 

Jelasnya, hantaran Facebook pengedaran bakul makanan itu dilakukan beberapa kali pada atau sebelum 31 Ogos di kawasan Parlimennya di Bagan. 

Tambahnya, wakil-wakil rakyat DAP antaranya Phee Boon Poh, Soon Lip Chee dan Sateesh Muniandy yang hadir bersama serta para penerima bantuan juga dapat mengesahkan pengedaran bakul makanan itu dilakukan pada atau sebelum 31 Ogos. 

“Hantaran Facebook pengedaran bakul makanan dibuat bukan pada hari yang sama tetapi beberapa hari selepas acara tersebut,” katanya. 

Semalam, dua sayap pemuda pembangkang Pulau Pinang iaitu parti Gerakan dan MCA membuat laporan polis di sini terhadap Guan Eng yang didakwa melanggar tempoh kuarantin kendiri pada 1 hingga 10 September selepas beliau menghadiri sidang DUN pada 2 September. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN