MELAKA: Seorang lelaki warga emas antara enam yang diberkas polis selepas dipercayai menjadi dalang pengedaran dadah menggunakan ahli keluarganya, malah, bekalan syabu seberat 7.5 kilogram (kg) turut ditemukan ditanam di bawah rumahnya di Kuala Sungai Baru di sini, Ahad lalu.
Suspek berusia 64 tahun ditahan bersama dua anaknya, menantu wanita dan dua lagi rakan lelaki dalam empat serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 25 hingga 26 September lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, sindiket digelar Geng Misai berkenaan berjaya ditumpaskan dengan penahanan awal dua lelaki yang merupakan rakan baik kepada dalang utama.
“Pada 25 September lalu, polis berjaya memberkas dua suspek lelaki dan siasatan susulan membawa kepada penahanan pasangan suami isteri, masing-masing berusia 24 serta 21 tahun, yang merupakan anak serta menantu kepada dalang utama pada pukul 12.10 tengah malam.
“Kita kemudian berjaya mengesan suspek utama dan menahannya di kediaman di Kuala Sungai Baru pada 1.40 pagi, diikuti tangkapan anak lelakinya berusia 27 tahun selepas dipercayai turut menjadi ejen pengedaran dadah didalangi bapanya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil pemeriksaan di kediaman suspek turut menjumpai dadah jenis syabu seberat 7.5 kilogram bernilai RM223,100, yang ditanam di bawah rumah.
“Suspek telah menyembunyikan dadah tersebut dengan menanamnya di bawah rumah dan akan menggali semula untuk mengambil bekalan mengikut kadar yang diperlukan sebelum diedarkan oleh ahli keluarganya di sekitar kawasan Kuala Sungai Baru.
“Hasil siasatan awal, suspek merupakan seorang mekanik dan anak-anak serta rakan rapatnya itu dipercayai telah menjalankan aktiviti tersebut sebulan yang lalu,” jelasnya.
Tambahnya, polis turut merampas sebuah motosikal dan wang tunai dengan jumlah sitaan keseluruhan bernilai RM15,000.
Jelas Abdul Majid lagi, hasil saringan ujian air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.
“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 26 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandotari jika sabit kesalahan,” katanya. -UTUSAN ONLINE