fbpx

Ejen insurans pandu Volkswagen Golf GTI klon didakwa

MOHD. TARIQ didakwa atas kesalahan memandu Volkswagen Golf GTI klon yang tidak didaftarkan di Mahkamah Majistret, Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang ejen insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan memandu Volkswagen Golf GTI klon yang tidak didaftarkan, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Tariq Iqram Mohd. Taqiyuddin, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang merupakan pemandu Volkswagen Golf GTI didakwa telah memandu kenderaan tersebut yang tidak didaftarkan di hadapan sebuah restoran di Seksyen 13, di sini pada pukul 8.45 malam, 8 Jun 2016.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 7(3), akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda sehingga RM10,000.

Timbalan Pendakwa Raya, P. Reetha mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin namun peguam bela, Datuk Taqiyuddin Yahya memohon jumlah lebih rendah iaitu RM3,000 memandangkan ibu tertuduh yang akan menjaminnya hanya seorang suri rumah.

Taqiyuddin sebelum itu turut memohon agar waran tangkap yang dikeluarkan terhadap tertuduh dibatalkan memandangkan dia hadir ke mahkamah hari ini.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM2,000 dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 13 Disember hadapan.

Waran tangkap terhadap tertuduh juga dibatalkan.- UTUSAN ONLINE 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI