Dua kembar teruja menanti Ogos, September - Utusan Malaysia

Dua kembar teruja menanti Ogos, September

SITI Suzana Sahar (kanan) bersama kembarnya, Siti Suhana Sahar teruja dan sentiasa menantikan bulan Ogos dan September bagi menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Felda Jengka 23 di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Dua kembar seiras, Siti Suzana Sahar dan Siti Suhana, 21, sentiasa menantikan kehadiran bulan Ogos dan September sebagai wadah mempamerkan semangat jati diri dan sayangkan negara.

Anak pasangan peneroka Felda Jengka 23 di sini, Sahar Noh, 67, dan Maimun Omar, 59, itu begitu teruja menyambut kemerdekaan dan Hari Malaysia bagi mengenang dan menghargai tokoh yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Siti Suzana berkata, tanpa disedari jasa tokoh yang membina negara bangsa ini seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein serta pejuang negara seperti ‘kurang diendahkan’ pada bulan-bulan lain.

“Pada bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia inilah perlu menjadi medan kepada generasi muda dan sebagai aspirasi mempertahankan kemerdekaan negara tanpa digugat oleh mana-mana pihak.

“Sesungguhnya jasa pejuang kemerdekaan dan juga pasukan tentera dan polis tidak boleh dilupakan dan mesti dikenang terutamanya oleh generasi muda,” katanya di sini semalam.

Bagi Siti Suhana pula, dia berbangga semangat patriotik dia dan adik beradiknya disuburkan oleh kedua ibu bapa yang sentiasa meraikan bulan kemerdekaan dengan menghiasi laman rumah dengan Jalur Gemilang sejak mereka kecil lagi.

“Saya berbangga dengan semangat patriotik kedua ibu bapa yang sentiasa ke hadapan menonjolkan semangat cintakan negara,” katanya.

Sementara itu Maimun berkata, lebih RM1,000 dibelanjakan bagi menghiasi halaman rumahnya dengan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini.

Ini kerana tegasnya, sambutan di peringkat keluarga dan komuniti dapat memupuk semangat patriotisme dan jati diri dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Hal ini kerana generasi muda hari ini mudah hanyut dan terikut-ikut dengan budaya barat dan lalai dengan ‘serangan’ telefon pintar,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN