PETALING JAYA: Seramai 50 penghuni Rumah Hope yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja bersekolah menerima hadiah Krismas awal yang bermakna menerusi sumbangan pengubahsuaian ruang kediaman serta penyediaan kelengkapan baharu oleh Signature International Berhad (Signature).
Inisiatif di bawah program komuniti Signature Cares itu merangkumi penambahbaikan menyeluruh ruang kediaman termasuk bilik tidur dan ruang bersama, sekali gus meningkatkan aspek keselesaan, keselamatan, privasi serta kesejahteraan emosi penghuni.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Signature, Lau Kock Sang berkata, Rumah Hope dipilih kerana peranannya yang signifikan sebagai tempat perlindungan kanak-kanak daripada latar belakang kurang bernasib baik serta dedikasi berterusan para penjaga di rumah kebajikan itu.
“Kami tersentuh dengan ketabahan kanak-kanak di sini dan komitmen para penjaga yang memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara. Lawatan awal mendapati kemudahan sedia ada menunjukkan tanda-tanda kehausan, justeru mendorong kami merangka penambahbaikan yang lebih bermakna dan berimpak jangka panjang,” katanya.
Menurut Kock Sang, pengubahsuaian yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada penyediaan ruang rehat yang lebih teratur, selesa dan bersih bagi menyokong kualiti kehidupan harian penghuni.
“Ruang yang lebih kemas dan tersusun membolehkan kanak-kanak mendapatkan rehat yang lebih baik, sekali gus menyokong keyakinan diri serta kesejahteraan emosi mereka,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, aktiviti ini juga bersempena pengenalan identiti baharu Signature Cares, sebuah platform bersepadu yang memfokuskan empat teras utama iaitu amalan kepenggunaan berhemah, pemerkasaan komuniti, sokongan kesejahteraan jangka panjang kanak-kanak kurang bernasib baik.
“Signature Cares mencerminkan janji jenama kami, Transforming Spaces, Elevating Lives, Touching Hearts, melalui sumbangan yang memberi impak nyata kepada komuniti.
“Hubungan Signature dengan Rumah Hope akan diteruskan menerusi pelbagai inisiatif lain pada masa hadapan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, sihat dan mampan untuk kanak-kanak,” katanya.
Sepanjang beberapa minggu lalu, Signature telah menyumbangkan pelbagai kelengkapan kediaman termasuk tilam, cadar, tuala, langsir, perabot serta perkakas elektrik bagi meningkatkan kualiti kehidupan penghuni Rumah Hope.
Sementara itu, pengetua rumah itu, Edwin Roch merakamkan penghargaan terhadap usaha Signature dan menyifatkan sumbangan tersebut memberi impak ketara dari segi keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan kanak-kanak.
“Penambahbaikan ini selari dengan misi Rumah Hope untuk membentuk insan muda yang berdaya tahan dan seimbang dari segi emosi,” katanya.
Inisiatif berkenaan turut disokong oleh rakan komuniti Signature serta beberapa pihak korporat yang menyumbang hadiah dan sokongan logistik bagi memeriahkan acara. – UTUSAN










