PUTRAJAYA: Institusi kewangan pembangunan (DFI) disarankan memberi sokongan penuh kepada negara dalam tempoh pemulihan terutama membantu membangunkan sosio-ekonomi rakyat.
Menteri Kewangan,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sokongan segera dalam memberikan bantuan itu ialah dari segi pembiayaan bagi menghindari impak ekonomi jangka panjang terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Menurut beliau, ini termasuk dalam sektor-sektor strategik termasuk sektor pelancongan, peruncitan, pertanian, infrastruktur, maritim, eksport serta industri berteknologi tinggi dan bermodal intensif.
“Oleh itu, DFI disarankan merangka penyelesaian praktikal seperti penggunaan kriteria pembiayaan yang kurang membebankan untuk membolehkan perniagaan kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin.
“Cadangan penyelesaian ini juga akan dipertimbangkan di dalam merangka Belanjawan 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, dalam merangka strategi pemulihan ekonomi negara, Kementerian Kewangan berpandangan DFI memainkan peranan strategik dan penting dalam usaha negara untuk memulih dan memelihara kapasiti perniagaan yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan menyokong kehidupan rakyat.
Kata beliau, ia sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia dengan menyarankan DFI memberi sokongan penuh kepada negara di dalam tempoh pemulihan ini. -UTUSAN ONLINE