Dulu hotel, kini bertukar ke dalam kereta, rumah - Utusan Malaysia

Dulu hotel, kini bertukar ke dalam kereta, rumah

CHE SUKRI CHE MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tak boleh di hotel, dalam kereta dan rumah pun jadi.

Ini adalah sebahagian taktik yang digunakan pasangan kekasih yang ditangkap atas kesalahan berkhalwat apabila kebanyakan hotel belum memulakan operasi akibat pandemik Covid-19.

Di sebalik kelembapan sektor pelancongan,  hikmah penutupan hotel dan halangan rentas negeri menyumbang penurunan hampir 41 peratus kes tangkapan khalwat di negeri ini.

Mendedahkan perkara itu kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini, hanya terdapat 187 kes berbanding tempoh sama pada 2020 iaitu sebanyak 317 kes.

Beliau berkata, antara faktor utama yang menyumbangkan kepada perubahan itu adalah penutupan industri perhotelan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh, di samping kekerapan operasi dilakukan penguatkuasa JAIM.

Ujarnya, lokasi lain yang menjadi penyumbang besar kepada jumlah tangkapan setelah penutupan operasi hotel dan rumah tumpangan adalah dalam kereta dan rumah si pelaku.

“Meskipun kes tangkapan menurun, namun ia tidak menghalang pasangan ini untuk menukar taktik dan memilih lokasi lain berdua-duan seperti dalam kereta. Berdasarkan operasi JAIM, tangkapan dibuat di rumah pasangan lelaki atau perempuan dan rumah ibu bapa pasangan masing-masing.

“Kebanyakannya mencari peluang apabila keluarga tiada di rumah, tetapi ada juga kes tangkapan dibuat semasa ibu bapa di rumah. Selain itu, terdapat juga kes tangkapan melibatkan lebih daripada dua orang pelaku,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ayer Keroh di sini.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan tangkapan khalwat tahun lalu adalah 661 kes berbanding 774 kes pada 2019.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, tangkapan paling banyak melibatkan purata umur 40 tahun ke bawah dengan 156 kes, sementara 31 kes pula membabitkan usia 41 tahun ke atas.

Jelasnya, penguat kuasaan dibuat berdasarkan Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang memperuntukkan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

“Nafsu tidak mengenal usia yang mana tangkapan paling muda berusia 16 tahun dan masih bersekolah manakala paling tua adalah  warga emas berumur 64 tahun. Bahagian Penguatkuasa JAIM telah melakukan 99 operasi dan menerima 129 aduan. Seramai 233 orang telah ditangkap.

“Justeru, peranan masyarakat sangat penting dalam pencegahan kesalahan syariah. Mereka harus peka dan menjadi mata telinga JAIM serta membantu menyalurkan maklumat agar tindakan pencegahan dapat dibuat dengan berkesan,” tegasnya.

Melaka Tengah mencatatkan kes khalwat tertinggi bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini melalui 49 operasi dengan 141 tangkapan dan 79 aduan.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya