PEMODENAN sistem pengangkutan utiliti dan pemanduan data digital kini menjadi agenda mendesak bagi memastikan sektor industri tempatan mampu mendepani cabaran produktiviti serta ketidaktentuan rantaian bekalan serantau.
Langkah meminimumkan pembaziran kapasiti logistik dan memperkukuh infrastruktur grid elektrik negara bukan sahaja kritikal untuk menyerap tekanan inflasi kos, malah menjadi penentu utama dalam mengekalkan daya saing pasaran domestik.
Dalam usaha membina ekosistem perniagaan yang lebih mampan, syarikat tempatan disaran beralih daripada amalan konvensional kepada model operasi pintar yang berupaya mengoptimumkan kos keseluruhan dalam jangka panjang.
Pengarah Akaun Strategik Siemens Energy, Ir. Shazwan Khalid berkata, pasaran tempatan kini menyaksikan gabungan kukuh antara proses elektrifikasi dan digitalisasi yang dipacu oleh ledakan infrastruktur digital seperti pusat data.
Menurut beliau, pembangunan kapasiti grid elektrik perlu dijadikan antara agenda utama negara kerana jaminan keselamatan tenaga akan menjadi cabaran paling kritikal dalam menyokong pelaburan industri berteknologi tinggi pada masa depan.
“Kebangkitan teknologi kecerdasan buatan (AI) amat membantu, namun ia juga mewujudkan titik kekangan baharu dalam rantaian sistem sekiranya infrastruktur grid tidak seiring dengan permintaan pasaran.
“Kita memerlukan perancangan dasar dan pelaburan yang boleh diramal daripada segi garis masa, supaya pemain industri global dapat terus menyokong keperluan pasaran domestik secara berterusan,” katanya semasa Forum Perniagaan FLUX baru-baru ini.
Tambah beliau, antara kekuatan utama Malaysia ketika ini ialah keupayaannya untuk terus menjadi negara hos pilihan pelabur luar serta kebolehpasaran bakat tempatan yang tinggi sehingga mampu dieksport ke pasaran serantau.
“Syarikat kami sendiri mengalami pertumbuhan kakitangan yang pesat daripada sekitar 200 ke 300 orang pada tahun lalu dan dijangka mencecah 700 orang menjelang akhir tahun ini.
“Namun, kejelasan garis masa pelaburan daripada pihak pengawal selia amat penting bagi memastikan unjuran pertumbuhan ini kekal kompetitif berbanding pasaran negara luar,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan MAN Malaysia, Marc Appelt berkata, meskipun ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan yang kukuh melebihi enam peratus pada suku akhir 2025, sektor logistik dan pengangkutan trak tempatan didapati masih bergelut dengan isu produktiviti yang rendah.
Menurut beliau, cabaran utama industri logistik ketika ini ialah persaingan harga yang sengit akibat lambakan pengendali pengangkutan, namun tidak diterjemahkan kepada kecekapan operasi yang sebenar.
“Isu paling membimbangkan ialah pembaziran kapasiti apabila sekitar 40 hingga 50 peratus trak di atas jalan raya dilaporkan bergerak tanpa muatan sebaik sahaja selesai menghantar barangan dari pelabuhan ke kilang.
“Syarikat logistik perlu mula menggunakan penyelesaian digital dan telematika berasaskan AI bagi mengurangkan waktu lengang di pelabuhan mahupun depot, sekali gus mengoptimumkan pulangan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata, tekanan kos operasi semasa akibat pelarasan subsidi atau ketidaktentuan harga diesel sepatutnya dijadikan pemangkin untuk mendorong industri melakukan transformasi perniagaan.
“Inovasi tidak akan berlaku tanpa adanya tekanan kos. Krisis semasa sebenarnya memberi ruang kepada syarikat untuk menilai jumlah kos operasi keseluruhan dan beralih kepada teknologi kenderaan komersial yang lebih menjimatkan bahan api sehingga 30 peratus.
“Melakukan perkara biasa dengan cara yang luar biasa baik melalui fleksibiliti operasi adalah strategi terbaik untuk meningkatkan kecekapan industri pengangkutan negara daripada terus terkesan akibat unjuran krisis luaran,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau bersetuju kestabilan pasaran domestik berkait rapat dengan keupayaan negara menguruskan rantaian bekalan tenaga kerja dan kos logistik secara kolektif di peringkat serantau. – UTUSAN










