PETALING JAYA: Kos sewa yang semakin tinggi di kawasan bandar menyebabkan terdapat individu termasuk dalam kalangan orang muda memilih tinggal di rumah sewa bercampur lelaki dan wanita bagi mengurangkan beban kewangan di hadapi mereka.
Keadaan itu berlaku apabila mereka lebih mengutamakan kadar sewa, lokasi berhampiran tempat kerja atau kampus serta akses pengangkutan awam berbanding keselesaan tinggal bersama penghuni sama jantina.
Seorang eksekutif khidmat pelanggan yang mahu dikenali sebagai Syafiqah, 26, berkata, dia memilih tinggal bilik sewa di Kelana Jaya di sini selepas gagal mendapatkan rumah yang disewa wanita sahaja pada kadar mampu bayar.
Katanya, rumah sewa wanita yang ditemuinya mengenakan sewa hampir RM600 sebulan berbanding RM400 bagi bilik di rumah yang bercampur jantina.
“Pada awalnya saya memang tidak selesa tetapi pilihan yang ada sangat terhad dan rumah ini dekat dengan tempat kerja. Namun saya akui masih rasa kurang selesa apabila ada lelaki di dalam rumah yang sama terutama pada waktu malam,” katanya.
Pelajar universiti swasta sekitar Subang Jaya yang mahu dikenali sebagai Siti, 23, pula berkata, dia hanya mengetahui rumah yang disewanya mempunyai penghuni lelaki selepas berpindah masuk.
“Saya terkejut pada mulanya, tetapi terpaksa kerana lokasi dekat dengan kampus dan kadar sewanya masih dalam kemampuan ” katanya.
Eksekutif logistik, Saiful, 24, pula berkata, pemilihan rumah campur jantina bukan dibuat secara sengaja sebaliknya kerana pilihan sewa yang sesuai semakin terhad.
“Ramai fikir penyewa sengaja memilih rumah campur jantina tetapi sebenarnya ramai yang tiada pilihan kerana harga sewa semakin tinggi. Saya lebih utamakan rumah yang dekat dengan pengangkutan awam dan tempat kerja,” katanya.
Isu ini turut menjadi perbincangan hangat di Threads dengan topik itu dilihat lebih 300,000 kali pengguna akaun media sosial itu.
Sementara itu, pemilik rumah sewa yang mahu dikenali sebagai Mr. Lee, 42, berkata, konsep rumah campur jantina bukan semata-mata bertujuan mengejar keuntungan, sebaliknya bagi mengelakkan bilik kosong terlalu lama.
Katanya, pemilik rumah tetap menanggung komitmen bulanan termasuk pinjaman perumahan, cukai, yuran penyelenggaraan dan kos baik pulih walaupun bilik tidak berpenghuni.
“Kalau iklan hanya dibuka kepada wanita atau lelaki sahaja, proses mencari penyewa boleh mengambil masa lebih lama. Apa yang penting bagi saya adalah rekod bayaran, disiplin dan kemampuan penyewa menjaga rumah,” katanya.-UTUSAN.










