PUTRAJAYA: China menyumbangkan lagi sejuta dos vaksin Covid-19 kepada Malaysia atas dasar persahabatan mendalam antara dua negara dan sesama rakyat.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Menteri Luarnya, Wang Yi secara rasmi ketika perbualan menerusi telefon bersama dengan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pagi ini.
“Sumbangan tambahan vaksin jenama CoronaVac buatan firma negara itu, Sinovac Biotech Ltd. bagi membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” kata kenyataan Wisma Putra.
Sebelum itu, kerajaan China muncul antara negara asing terawal pernah menyumbangkan sejumlah 500,000 dos vaksin tersebut pada Julai lalu untuk menjayakan program berkenaan.
Mengulas lanjut, Saifuddin bagi pihak kerajaan Malaysia, menzahirkan penghargaan kepada China atas sumbangan terbaharu itu yang mengukuhkan kerjasama sejak wabak itu muncul.
China ujarnya, sama ada menerusi saluran kerajaan dan entiti swasta telah menunjukkan tanda solidariti kepada Malaysia melalui sumbangan pelbagai bekalan perubatan yang terbaharu meliputi pelitup muka, peralatan perlindungan diri dan ventilator selain sepasukan pakar kesihatan dari Guangzhou bagi berkongsi pengalaman dan amalan rawatan terbaik.
Sementara itu, Malaysia juga menyumbang wang tunai AS$1 juta selain 18 juta sarung tangan getah dan 15 tan barang makanan kepada China ketika wabak mula menular di kota Wuhan.
Kedua-dua negara juga kata Saifuddin, menandatangani Perjanjian Kerjasama Pembangunan dan Aksesibiliti Vaksin dan Memorandum Persefahaman Kerjasama Era Pasca-Covid-19 dengan China turut meletakkan Malaysia dalam senarai keutamaan penerima vaksin diperbuat di negara itu sejak Oktober tahun lepas lagi.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama Putrajaya dan Beijing dalam menangani wabak itu secara berterusan dan menuju pemulihan penuh di kedua-dua negara,” jelasnya.
Dalam perbualan telefon itu, mereka berdua turut memperbaharui lagi hubungan kerja serta persahabatan selain berkongsi dan bertukar pandangan isu semasa serantau dan sejagat selain menyatakan komitmen berterusan meningkatkan hubungan dua hala sedia ada yang erat, malah memperluaskan kerjasama ke bidang baharu.
Antaranya tambah Saifuddin, dengan meneroka peluang teknologi dan industri terbaharu termasuk ekonomi digital dan keselamatan siber demi manfaat bersama kedua-dua rakyat termasuk membincangkan isu-isu peringkat serantau dan antarabangsa terutama perkembangan terkini di Laut China Selatan. UTUSAN ONLINE










