Bekas pegawai BTN tanam cili jana pendapatan - Utusan Malaysia

Bekas pegawai BTN tanam cili jana pendapatan

NORLI SHAHRIMAN Alwi di kebun lada fertigasi diusahakannya di Kampung Kuala Sanggang di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pemansuhan Biro Tata Negara (BTN), Jabatan Perdana Menteri pada 2018 mengubah sepenuhnya kehidupan salah seorang pegawainya daripada seorang pegawai kerajaan kepada seorang usahawan tani sepenuh masa.

Bekas Pegawai Latihan BTN, Norli Shahriman Alwi, 41, dia bertekad mengusahakan projek tanam cili fertigasi sejak empat bulan lalu sebagai sumber pendapatannya.

Beliau yang berasal dari Kampung Kuala Sanggang di sini menanam cili merah atau Capsicum Annum secara sistem fertigasi secara skala besar berikutan permintaan tinggi di pasaran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Norli Shahriman berkata, penanaman cili merah menggunakan teknologi sistem fertigasi terbukti dapat meningkatkan hasil dan mempunyai daya maju yang tinggi.

“Sehingga kini, terdapat sebanyak 2,000 pokok cili dalam 1,000 polibeg yang ditanam di kawasan tanah seluas kira-kira 0.2 hektar tanah dan mampu menghasilkan 15 hingga 20 kilogram cili sehari.

“Jumlah itu dapat menampung permintaan daripada kedai-kedai agro dan kedai makan dari daerah ini,” katanya yang juga bilal Masjid Sri Semantan di Kampung Kuala Sanggang di sini semalam.

Norli Shahriman berkata, pada masa ini, pasaran cili tempatan tidak dapat menembusi pasar raya kerana persaingan daripada produk dari Thailand dan Vietnam.

Ini kerana katanya, pasar raya dan kedai-kedai tertentu di daerah ini menjual RM8 sekilogram cili dari Thailand dan Vietnam berbanding cili tempatan yang berharga lebih tinggi.

“Lada tempatan dari projek fertigasi saya dijual serendah RM14 sekilogram berikutan input pertanian mahal seperti baja AB Cameron Highlands berharga RM250 untuk 50 kilogram.

“Namun, saya memberi jaminan lada merah Kuala Sanggang berkualiti tinggi, panjang, segar, tahan lama, pedas dan sesuai untuk semua jenis masakan,” katanya.

Selain cili merah, beliau juga mengusahakan beberapa projek lain iaitu ternakan ikan patin dalam sangkar dan ayam kampung tetapi permintaan agak terjejas berikutan wabak Covid-19 melanda negara sejak dua tahun lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN