KUALA SELANGOR: Banjir di Kuala Selangor menenggelamkan Kampung Rantau Panjang di sini mengakibatkan Jalan Kampung Rantau Panjang – Universiti Industri Selangor (Unisel) di Bestari Jaya terpaksa ditutup akibat ditenggelami air.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jalan tersebut tidak selamat untuk dilalui apabila air dari Sungai Selangor melimpah dan mengalir melintasi jalan berkenaan.
Malah, sehingga pukul 2 petang hari ini, banjir yang bermula pada tengah hari semalam dilaporkan masih belum surut menyebabkan penduduk terpaksa menunggu di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) lebih lama sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd. Faizal Abdul Raji, memberitahu, setakat ini sebanyak 27 keluarga merangkumi 90 orang penduduk di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang.
“Fasiliti PPS telah disanitasi terlebih dahulu oleh pihak Bomba Bestari Jaya sebelum semua mangsa yang terlibat dipindahkan. Kit Bencana Banjir juga telah diserahkan kepada mangsa yang terjejas.
“Dalam tempoh wabak Covid-19 ini, semua agensi terlibat sentiasa memastikan mangsa dan petugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuatkuasa dalam menguruskan bencana ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan 48 penduduk kampung di sini, terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir.
Susulan kejadian, lapan agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APMM) dan polis dikerah bagi membantu mangsa dan mengurus bencana.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim memaklumkan banjir tersebut difahamkan tidak akan surut dalam masa terdekat oleh itu beliau berharap jalan tersebut ditutup segera.
“Saya melihat sendiri pengguna jalan raya seperti lori tanah meredah air sehingga membahayakan penunggang motosikal. Saya sudah cuba melalui jalan tersebut dan mendapati arusnya agak kuat. Tutup segera jalan ini sebelum ada yang cedera atau meninggal dunia,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE