PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said telah menghantar notis usul cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam.
Menurut beliau, usul yang dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) iaitu membabitkan RUU anggota Parlimen bukan ahli kerajaan itu adalah selari dengan inisiatif anti lompat parti yang sedang diusahakan kerajaan hari ini dan secara tidak langsung mewujudkan kebersamaan selaras semangat Keluarga Malaysia dengan merangkumi kerjasama rentas parti.
Beliau berharap persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun agar usul itu dapat dibentang dan dibahas serta jasa baik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar agar membawanya ke depan secara ‘fast track’ seperti pernah dilakukan untuk Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 pada 2015.
“Saya juga akan menulis surat kepada semua ahli Parlimen untuk menerangkan kepentingan dan kelebihan RUU ini dalam memastikan sistem pilihan raya yang lebih adil dan berintegriti terhadap mandat rakyat.
“Saya berharap usul ini menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan mekanisme pemecatan wakil rakyat atau recall election sebagai kaedah anti lompat parti di dalam sidang Parlimen September ini. Semoga agenda reformasi Parlimen untuk mewujudkan kestabilan politik dan pentadbiran yang telus akan menjamin kebajikan rakyat dan masa depan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Azalina yang juga Ketua Pasukan Khas Demokrasi dan Perundangan Barisan Nasional (BN) memaklumkan beliau berhasrat menghantar notis usul kepada Dewan Rakyat berhubung cadangan RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 pada sidang Parlimen, September ini sebagai titik permulaan kepada recall election.
‘Recall election’ merujuk kepada pemilihan semula seperti diamalkan oleh beberapa negara Komanwel lain.
Sebelum ini, beliau pernah mencadangkan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau recall election diadakan bagi menghalang mana-mana wakil rakyat daripada lompat parti demi kepentingan sendiri. -UTUSAN ONLINE