PUTRAJAYA: Kerajaan tidak bertolak ansur dan bertindak tegas terhadap sebarang ugutan daripada mana-mana pihak dalam usaha memerangi rasuah sama ada daripada pihak lawan atau dalam kalangan rakan sekutu sendiri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun Kerajaan Perpaduan memberi penekanan kepada prinsip tatakelola dan dasar anti-rasuah, namun masih terdapat segelintir pihak yang terperangkap dengan pola budaya lama yang bobrok atau rosak.
“Selanjutnya saya nak maklumkan, saya baru (pulang dari) Istana Johor, mengadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Antara perkara utama yang dibincangkan ialah tentang langkah-langkah tegas tahun kebelakangan ini dan juga mutakhir ini terhadap rasuah yang menular di peringkat atasan.
“Meskipun kerajaan Madani telah menegaskan bahawa di antara dasar utamanya adalah menekankan isu tatakelola dan menghapuskan amalan rasuah. Namun masih ada saki baki yang terperangkap dengan kerangka dan pola budaya lama yang bobrok.
“Saya tentunya menyampaikan maklumat terkini (berdasarkan) hasil siasatan cuma (saya) menekankan bahawa kita tidak akan bertolak ansur, tidak akan menerima apa-apa ugutan dari mana-mana pihak dan kita akan tegas menghadapi masalah ini sama ada kawan atau lawan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beberapa tindakan tegas telah diambil melibatkan pelbagai pihak termasuk pentadbiran tertinggi, parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, pembangkang, pegawai kanan tentera dan penjawat awam.
“Kita akan terus bertindak tegas menyelamatkan negara dan dapat menggunakan dana sewajarnya untuk membela nasib rakyat,” ujarnya. – UTUSAN










