Aspek pendidikan perlu diberi penekanan dalam RMK12 - Utusan Malaysia

Aspek pendidikan perlu diberi penekanan dalam RMK12

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bukan hanya perlu diberi penekanan terhadap aspek pembangunan mega yang bersifat fizikal, tetapi wujud keperluan mendesak kepada beberapa perkara lain termasuk bidang pendidikan.

 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, satu program khas perlu dirancang untuk pelajar sepanjang empat tahun ini bagi membolehkan mereka mengejar kembali pendidikan yang tertinggal jauh.

 

Menurutnya, wujud keperluan mendesak untuk kerajaan memastikan adanya intervensi khusus yang menyeluruh dan berkesan bagi memastikan generasi tertinggal sama ada di bangku sekolah atau institut pengajian tinggi (IPT) diberikan perhatian.

 

“Mereka yang sudah kehilangan hampir dua tahun pengajian mesti mendapat peluang atau diberikan program khas sepanjang empat tahun akan datang untuk mengejar kembali pendidikan mereka yang sudah jauh tertinggal. 

 

“Ia selaras dengan Policy Enabler 1 berkaitan Pembangunan Bakat Masa Depan, aspek kritikal ini tidak boleh dikesampingkan sama sekali. Malah, ia sebenarnya menuntut keseluruhan sistem dan pendekatan pendidikan sedia ada disemak dan diselaraskan semula secara besar-besaran,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan pelan pembangunan lima tahun bagi 2021-2025 yang mengandungi sembilan fokus utama bertemakan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’ dengan peruntukan RM400 bilion.

 

Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada adaptasi teknologi dan pendigitalan dengan lonjakan harus dimulakan secara radikal dalam sektor perkhidmatan awam.

 

“Segala pelan pertumbuhan, inovasi dan pemfokusan terhadap aspek ekonomi baharu sangat bergantung kepada kecekapan dan kepantasan perkhidmatan awam.

 

“Selain itu, aspek penting yang harus sama dilihat berkaitan program dan dasar negara yang selama ini sangat mesra pelabur dan pelawat, maka semakan semula peraturan Malaysia My Second Home (MM2H) mesti memudah dan menarik minat orang luar ke negara kita untuk bekerja, membina kehidupan dan tinggal di sini,” katanya.

 

Mohamed Khaled turut menyentuh faktor keseimbangan kuasa antara kerajaan negeri dan Persekutuan yang perlu lebih seimbang bagi membolehkan semua kerajaan negeri termasuk yang ditadbir pembangkang memeta hala tuju dan agenda pembangunan lebih strategik dan bersesuaian.

 

“Kerajaan negeri harus diberikan kuasa dan mandat lebih besar, penting dan bermakna. Bukan sekadar menurut sahaja pelan dan arahan kerajaan Persekutuan. RMK12 adalah agenda kritikal, kita mesti beri perhatian serius dalam memastikan ia bukan sekadar capai sasaran tetapi berupaya memberi lonjakan yang besar kepada negara.

 

“Kita sudah kerugian dan tertinggal dalam banyak perkara. Bukan sahaja kerana pandemik global yang masih belum reda, tetapi disebabkan percaturan politik yang tidak berkesudahan dan kegagalan kita untuk selalunya melaksanakan apa yang dirancang dengan baik,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN