Angkara individu 'konon senior' - Utusan Malaysia

Angkara individu ‘konon senior’

AMINUDDIN HARUN dikatakan tidak tahu ada gerakan untuk menyingkirkannya daripada memimpin PKR Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Usaha menyingkirkan Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan didakwa ang­kara beberapa individu yang merasakan mereka lebih senior dalam perjuangan parti itu di negeri ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber dalaman PKR negeri berkata, parti itu di Ne­geri Sembilan mempunyai sejarah yang panjang dan ada dalam kalangan ahli MPN mendakwa mereka lebih lama berada parti serta berasa lebih layak me­mimpin berbanding Aminuddin.

“Tiada apa-apa kem dalam PKR negeri ini, semua mempunyai hala tuju kepemimpinan yang sama tetapi seperti yang saya katakan, mungkin ada beberapa orang dalam kalangan ahli senior berfikir mereka lebih layak. Jadi, kita tak dapat elak kerana latar belakang (PKR Ne­geri Sembilan) memang begitu.

“Sebagai pemimpin parti dan negeri, mungkin Aminuddin dilihat mempunyai kekuatan dan kelemahan. Itu sebenarnya proses biasa tetapi berbalik kepada latar belakang itu tadi, itu nampak seperti ada macam pergolakan dalam parti di negeri ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Timbalan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk M. Ravi dilaporkan berkata, terdapat cadangan supaya jawatan Pengerusi MPN itu diserahkan kepada individu lain dengan Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat kekal sebagai Menteri Besar.

Ravi yang juga Ketua PKR Cabang Port Dickson juga mengakui ada menandatangani akuan bersumpah (SD) yang dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan tersebut.

Sementara itu, sumber itu memberitahu, beliau dan Aminuddin tidak mengetahui terdapat gerakan atau usaha untuk menggantikan Pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan sehingga ke tahap mengumpul SD seperti yang didakwa oleh Ravi.

“Mereka ini tidak pernah membangkitkannya dalam mesyuarat PKR Negeri Sembilan dan saya tahu ia tidak pernah dibawa ke pimpinan pusat malah tidak pernah dikemukakan kepada Anwar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pene­rangan PKR Negeri Sembilan, Yusuf Tapar berkata, kenyataan media berhubung hilang kepercayaan terhadap Aminuddin bertujuan untuk menarik perhatian parti di peringkat pusat.

“Memang kami sudah lama merancang Aminuddin digantikan malah kami telah memaklumkan tentang ketidakmampuan beliau sebagai Pengerusi MPN. Pemakluman dan SD telah dihantar kepada Presiden PKR kira-kira empat bulan yang lepas.

“Presiden sudah tahu dan Setiausaha Agung juga sudah tahu, bagaimanapun saya tidak menyalahkan mereka kerana pada waktu itu, umum menge­tahui keadaan di Parlimen tidak menentu, apa yang jelas kepe­mimpinan Pusat PKR tahu tentang isu ini,’’ katanya.

Yusuf berkata, empat daripada enam ADUN PKR di negeri ini juga telah menandatangani SD iaitu ADUN Labu, Datuk Ismail Ahmad; ADUN Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek; ADUN Sri Tanjung, Datuk M. Ravi dan ADUN Chuah, Datuk Yek Diew Ching. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×