PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menghargai peranan besar dimainkan ahli farmasi di seluruh negara terutama mendepani cabaran wabak Covid-19 dengan pelbagai varian baharu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini, tugas mereka diperlukan dalam usaha mengajar masyarakat mengenai penggunaan sepatutnya kit ujian kendiri di pasaran.
“Anda boleh didik orang awam cara betul penggunaan, penyimpanan dan pelupusan produk ini,” ucapnya merasmikan webinar Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG) hari ini bertemakan ‘Penciptaan Semula Bisnes Farmasi: Penyesuaian Melangkaui Krisis’ bersempena dengan Hari Farmasi Sedunia diraikan setiap 25 September.
Ia selaras tarikh penubuhan Persekutuan Farmaseutikal Antarabangsa di The Hague, Belanda pada 1912 lalu dan diperakui ketika kongres badan berkenaan di Istanbul, Turki pada 2009.
Di Malaysia pula, Persatuan Farmasi Malaysia menganggarkan terdapat 19,792 ahli farmasi yang berdaftar dengan sekitar 3,000 buah farmasi komuniti wujud seluruh negara tahun lalu.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, penggunaan kit saringan kendiri itu ketika ini menjadi tugas penting ahli farmasi bagi membimbing rakyat agar tahu status kesihatan semasa.
“Anda juga boleh menyediakan tugas susulan dan sesi kaunseling sejurus keputusan ujian itu diketahui selain menasihatkan pengguna mengenai perbezaan antara jenama,” tambahnya.
Pada masa sama, kementerian itu ujarnya, menyambut baik penglibatan MCPG dalam usaha menambah baik sistem penjagaan kesihatan awam dan komited menaik taraf hidup rakyat.
Persatuan tersebut boleh bekerjasama rapat dengan mengajar rakyat mengelak daripada pengambilan ubat yang salah dan tular kononnya boleh mengekang penularan kes Covid-19 sejajar dengan tema webinar kali ini bagi mewujudkan suasana kehidupan norma baharu masyarakat perlu hidup bersama virus itu sebagai endemik yang boleh dicegah.
Khairy juga menyifatkan ahli farmasi komuniti setaraf petugas barisan hadapan apabila berganding dengan pihak hospital yang pernah terbeban teruk ketika merawat pesakit.
“Saya berbesar hati untuk mendengar segala saranan dan maklum balas anda semua dalam memahami keperluan sebenar di lapangan terutama isu melibatkan nasib farmasi,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE